Premis yang menjalankan perniagaan vape yang dikompaun RM25,000 kerana menjalankan perniagaan dan melanggar SOP PKPD. FOTO IHSAN PDRM
Premis yang menjalankan perniagaan vape yang dikompaun RM25,000 kerana menjalankan perniagaan dan melanggar SOP PKPD. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua premis perniagaan di Mergong, dekat sini dikompaun RM25,000 masing-masing selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, premis berkenaan tidak dibenarkan beroperasi ketika penguatkuasaan PKPD kerana bukan perkhidmatan perlu.

"Kedua-dua premis berkenaan menjalankan perniagaan berkaitan rokok dan vape.

"Kompaun dikeluarkan selepas pasukan pemantau Covid-19 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang melakukan pemeriksaan di premis itu hari ini mendapati kedua-duanya masih beroperasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Redzuan berkata, berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 11(2) Akta 342, kedua-dua premis terbabit dikenakan kompaun RM25,000 masing-masing kerana melakukan kesalahan menjalankan perniagaan bukan perkhidmatan perlu ketika tempoh PKPD Kota Setar.

Beliau berkata, pasukan pemantau Covid-19 IPD Kota Setar akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP PKPB di daerah ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 4:38 PM