Antara pengunjung yang asyik berhibur di pusat hiburan berkenaan. FOTO IHSAN PDRM
Antara pengunjung yang asyik berhibur di pusat hiburan berkenaan. FOTO IHSAN PDRM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seramai 50 pelanggan sebuah pusat hiburan di Waterfront, Jalan Tun Fuad Stephen, di sini, dikenakan kompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, malam tadi.

Dalam operasi jam 9.30 malam itu, pengurus pusat hiburan terbabit turut dikenakan kompaun RM25,000 dan ditahan bersama tiga pekerja warga China bagi membantu siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi dijalankan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Katanya, ketika pemantauan dijalankan di premis berkenaan, pihaknya mendapati muzik sedang dimainkan dengan kuat dan pelanggan juga berhibur sambil minum minuman beralkohol.

"Bagaimanapun, semua 50 pelanggan premis berkenaan didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak mendaftar di MySejahtera atau pada buku disediakan.

"Pelanggan dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang membabitkan 25 lelaki dan 25 wanita kerana ingkar dan melanggar SOP ditetapkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, semua pelanggan didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Katanya, hasil pemeriksaan lesen juga mendapati premis berkenaan menggunakan lesen Restoran Kelas Dua yang mana melanggar syarat perniagaan dengan menjalankan aktiviti pusat hiburan.

"Pasukan serbuan turut merampas, satu set kelengkapan komputer, peralatan Mixer jenama Soundcraft Siexpression, pembesar suara dan alat Tp-Link," katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi menasihati masyarakat supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, tahap pematuhan masyarakat kepada SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah menjadi penentu kejayaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Individu yang melakukan kesalahan pertama mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), boleh dikenakan hukuman dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 4:40 PM