ANGGOTA polis pasukan pemantau Covid bersama ATM melakukan pemeriksaan di sebuah restoran yang dikompaun di sebuah kompleks beli belah kerana gagal patuh SOP. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
ANGGOTA polis pasukan pemantau Covid bersama ATM melakukan pemeriksaan di sebuah restoran yang dikompaun di sebuah kompleks beli belah kerana gagal patuh SOP. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


SEBUAH restoran dalam kompleks beli-belah di Alor Setar, Kedah, dikompaun RM1,000 kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standart (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Restoran itu dikompaun kerana didapati tidak mengamalkan penjarakan sosial menyebabkan pelanggan makan pada jarak dekat.

Kompaun itu dikeluarkan ketika anggota polis dari Pasukan Phas Pemantau Covid Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan pemantauan di premis pasaraya terbabit sekitar jam 6.30 petang semalam.

Dalam pada itu, hasil tinjauanmendapati orang ramai mematuhi arahan pemakaian pelitup muka yang ditetapkan kerajaan.

Tinjauan semalam di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Alor Setar mendapati, kesemua penumpang yang menaiki komuter memakai pelitup muka, melakukan pemeriksaan suhu badan dan mengamalkan penjarakan sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, hasil pemantauan semalam mendapati, orang ramai mematuhi arahan yang ditetapkan dan mengikut SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berjalan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan SOP untuk memutuskan rantaian Covid-19.

"Pakai pelitup muka ketika berada di kawasan tumpuan awam dan memakai cecair pembasmi kuman untuk mengelak terkena jangkitan.

"Mereka yang ingkar PKPP akan dikompaun RM1,000," katanya.

Mohd Redzuan berkata, pemantauan akan diteruskan dari masa ke semasa untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, sehingga kini (mula PKPP - 10 Jun 2020 hingga 1 Ogos 2020) seramai 240 orang dikompaun termasuk beberapa pengusaha premis kerana gagal mematuhi SOP seperti penjarakan sosial, pengambilan suhu dan tidak mencatitkan butiran.

Selain itu, seramai 16 individu ditangkap iaitu pemegang kad UNHCR yang tidak mengamalkan penjarakan sosial sewaktu di premis kedai makan.

Pemantauan pematuhan SOP ini akan diteruskan bagi memastikan rantaian penularan wabak virus Covid 19 ini terputus.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 2:01 PM