Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seorang pemilik hotel bajet di Taman Anggerik di sini dikompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), semalam.

Timbalan Ketua Polis Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kompaun dikeluarkan terhadap lelaki berusia 60-an dipercayai pemilik hotel berkenaan selepas pemeriksaan pasukan pemantau Covid-19, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada jam 10.30 malam.

"Pemeriksaan turut menemui seorang wanita warganegara Thailand berusia lingkungan 30-an yang didaftarkan sebagai pelanggan menginap di satu daripada bilik hotel berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati dokumen perjalanan wanita Thailand itu sudah tamat tempoh dan dia ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

LELAKI dipercayai pemilik hotel yang dikompaun RM10,000 kerana membenarkan operasi hotel dilakukan ketika PKPD. FOTO Zuliaty Zulkiffli
LELAKI dipercayai pemilik hotel yang dikompaun RM10,000 kerana membenarkan operasi hotel dilakukan ketika PKPD. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Mohd Redzuan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan di hotel itu turut menemui satu pasangan berusia 30-an yang berada di dalam sebuah kenderaan di hadapan hotel terbabit.

"Kompaun RM2,000 turut dikenakan terhadap kedua-duanya tidak mematuhi SOP PKPD yang ditetapkan," katanya.

Mohd Redzuan berkata, sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan pada hari pertama PKPD di Kota Setar, membabitkan pelbagai kesalahan dan ketidakpatuhan kepada SOP PKPD.

Beliau berkata, kebanyakan kesalahan itu adalah berkumpul dan minum di kawasan kediaman.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 2:04 PM