SAZALI (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dinyorokkan didalam tong ikan. FOTO Omar Ahmad
SAZALI (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dinyorokkan didalam tong ikan. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Johor Bahru: Taktik menyorok rokok seludup dalam tong ikan terbongkar apabila 257,400 batang rokok putih tidak bercukai bernilai RM61,776 dirampas selepas pemeriksaan ke atas sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, awal bulan ini.

Pengarah Kastam Negeri Johor, Sazali Mohamad berkata, rampasan susulan pemeriksaan ke atas sebuah lori tiga tan yang membawa 12 tong ikan pada 6.20 petang, 3 Mei lalu.

Katanya, aktiviti penyeludupan itu dikesan menerusi operasi dijalankan bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

"Sindiket dipercayai berselindung di sebalik pengeksportan ikan-ikan segar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Modus operandi sindiket adalah menyembunyikan rokok seludup di bawah timbunan ikan segar yang akan dihantar ke negara jiran.

"Pemeriksaan dilakukan selepas kita dapati ada keraguan dan menimbulkan syak dari segi bilangan atau kuantiti permit yang dimohon dengan berat ikan serta bilangan tong yang digunakan," katanya dalam sidang media di Menara Kastam di sini, hari ini.

Menurut Sazali, helah itu adalah pertama yang dikesan bagi aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai.

Katanya, kebiasaan taktik yang digunakan oleh sindiket penyeludupan rokok ialah menyoroknya di bawah timbunan konkrit atau dalam perabot, pintu dan sebagainya.

"Siasatan ke atas pemandu lori dan kelindan yang berusia 30 dan 60 tahun mendapati mereka tidak tahu tentang ribuan kotak rokok yang disorokkan dalam tong ikan berkenaan.

"Kedua-dua mereka memberikan kerjasama ketika ditahan dan dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang.

"Kita sedang menyiasat syarikat pengeksport beralamat di Kulai dan ejen penghantaran untuk mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 dibaca bersama Seksyen 139 di bawah akta sama iaitu cubaan mengeksport barang-barang larangan tanpa kelulusan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 2:04 PM