Omar Ahmad


Johor Bahru: Taktik licik penyeludup rokok menyoroknya dalam kepingan daun pintu berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pengarah JKDM Johor Sazali Mohamad berkata, sebanyak 10 daun pintu yang mengandungi 620 karton rokok dirampas dalam serbuan di sebuah premis syarikat penghantaran di Jalan Kempas Lama, pada 4.30 petang 21 Oktober lalu.

Menurutnya, setiap pintu kayu itu boleh memuatkan 62 karton rokok.

"Hasil pemeriksaan, anggota penguat kuasa JKDM berjaya menemui 124,000 batang rokok.

"Rokok putih ini dianggarkan bernilai RM49,600 dan jumlah cukainya dianggarkan sebanyak RM86,000.

"Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak awal tahun ini dan ia kes pertama rampasan rokok membabitkan modus operandi seperti itu.

"Kita juga percaya 10 keping daun pintu bersama rokok itu akan dihantar ke negara jiran menerusi khidmat kurier.

"Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat bagi kes ini," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JKDM Johor, di sini, hari ini.

Sementara itu, Sazali berkata, pihaknya membuat serbuan di sebuah premis di Taman Ekoperniagaan 2, Senai Airport City dan merampas 150 karton rokok seludup pelbagai jenama pada 8 malam tadi.

Menurutnya, sebanyak 856,000 batang rokok itu ditemui dalam tong berwarna jingga dalam sebuah lori berkunci yang berada di premis itu.

Siti Zaleha Menunjukkan Rokok Yang Dirampas Dalam Operasi Khas. Foto Iqmal Haqim Rosman
Siti Zaleha Menunjukkan Rokok Yang Dirampas Dalam Operasi Khas. Foto Iqmal Haqim Rosman

"Rokok ini dianggarkan bernilai RM153,120 dengan nilai cukai sebanyak RM580,272," katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 11:51 AM