Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor melakukan rondaan di Sungai Kelantan di sekitar Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang untuk memberi peringatan kepada orang ramai agar mematuhi SOP sempena pelaksanaan PKPD yang akan berkuat kuasa esok. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor melakukan rondaan di Sungai Kelantan di sekitar Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang untuk memberi peringatan kepada orang ramai agar mematuhi SOP sempena pelaksanaan PKPD yang akan berkuat kuasa esok. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Wanita berusia lingkungan 30-an dari Mukim Bunut Susu, Pasir Mas dikesan sebagai pencetus kluster baharu di Kepulauan Tumpat.

Wanita berkenaan pergi ke rumah saudaranya di Pulau Beluru, Tumpat sebelum Mukim Bunut Susu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang bermula 9 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, wanita itu dikesan positif Covid-19 pada Syawal kedua.

Menurut, susulan itu hasil ujian saringan didapati seramai 21 individu positif Covid-19 daripada 80 individu yang disaring, manakala 59 lagi negatif.

"Kita mensasarkan seramai 700 individu akan disaring hari ini dan meminta semua penduduk memberi kerjasama sepenuhnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, PKPD di Kampung Terusan, Limbat, Pasir Tumbuh akan dilaksanakan bermula esok selepas lokasi itu merekodkan 48 kes positif Covid-19 daripada 122 individu yang disaring.

Menurutnya, penduduk di kawasan berkenaan termasuk di Pondok Pasir Tumbuh adalah seramai 1,372 orang membabitkan 973 buah rumah.

"Kes indeks bagi Kluster Kampung Terusan ini membabitkan seorang lelaki berusia 67 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 27 April lalu hasil saringan individu bergejala. Kes mula bergejala pada 20 April," katanya.

Semalam dilaporkan Kampung Terusan dan Kepulauan Tumpat akan dilaksanakan PKPD bermula 22 Mei sehingga 4 Jun ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 4:44 PM