PETUGAS kesihatan melakukan ujian saringan ke atas warga emas, Jaharah Siak, 83, di Dewan Lembah Jaya, Ampang. FOTO Azhar Ramli.
PETUGAS kesihatan melakukan ujian saringan ke atas warga emas, Jaharah Siak, 83, di Dewan Lembah Jaya, Ampang. FOTO Azhar Ramli.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Seramai 388 daripada 8,585 penduduk Hulu Langat yang disaring pasukan Selangor Task Force Operations (STFO) dan Selangor Health Care (SelCare) disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, saringan menerusi Program Saringan Komuniti SELangkah itu bermula 8 Mei hingga 11 Mei lalu.

Katanya, selain Hulu Langat, program dilaksana di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor termasuk Kajang, Semenyih, Sungai Ramal, Balakong, Teratai, Dusun Tua, Pandan Indah dan Lembah Jaya.

"Semua 388 individu yang didapati positif ini tidak bergejala dan mereka diminta menjalani kuarantin kendiri, sementara menunggu arahan seterusnya daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat.

"Pengesanan dilakukan menerusi ujian saringan PCR," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, sejumlah 83 peratus daripada individu yang datang untuk ujian saringan itu mendaftar melalui aplikasi SELangkah, dengan keputusan ujian saringan pada hari sama atau keesokan harinya.

Beliau meminta rakyat Selangor untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan pihaknya akan terus melakukan saringan komuniti Covid-19.

"Kita sarankan mereka menghadiri program saringan ini di DUN masing-masing, muat turun aplikasi SELangkah, tekan butang 'Sihat' dan pilih 'Pendaftaran Saringan Daftar'," katanya yang memberitahu saringan seterusnya akan dilakukan di Gombak pada 18 Mei.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 9:24 AM