Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan negeri menggesa penduduk taman perumahan di Klang agar melakukan saringan Covid-19 bermula hari ini dan esok.

Saringan bersasar komuniti membabitkan beberapa taman perumahan di Jalan Batu Unjur 5, Taman Bayu Perdana, Klang iaitu Taman Sri Andalas, Taman Bayu, Taman Desawan, Taman Desa Utama, Taman Chi Liung, Taman Petaling Indah dan Bandar Bukit Tinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, saringan secara percuma itu bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

"Orang ramai yang tinggal di beberapa taman perumahan sekitar Jalan Batu Unjur 5, Taman Bayu Perdana disaran mengambil ujian saringan bersasar komuniti yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

"Segera daftar di screening.selangkah.my agar proses saringan lancar," kata menerusi satu hantaran di Facebook (FB), semalam.

Dalam pada itu, Selangor merekodkan 776 kes baharu Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Ia membabitkan Petaling dengan 242 kes; Hulu Langat (218); Klang (206); Gombak (48); Sepang (22); Kuala Langat (16); Kuala Selangor (13); Hulu Selangor (tujuh) dan Sabak Bernam (empat).

Secara keseluruhan, Klang merekodkan kumulatif kes aktif tertinggi dengan 4,751 kes diikuti Hulu Langat (2,802); Petaling (1,433); Gombak (917); Sepang (371); Kuala Selangor (332); Hulu Selangor (60) dan Sabak Bernam (47).

Sehingga kini, Selangor merekodkan 33,169 kes jangkitan Covid-19 yang mana 10,294 daripadanya adalah kes aktif.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 10:31 AM