VAKSIN Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech. FOTO Arkib NSTP
VAKSIN Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan Selangor menerusi Selgate Corporation Sdn Bhd sudah menempah sejumlah 2.5 juta dos vaksin Covid-19 untuk kegunaan pekerja industri serta rakyat di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, proses perbincangan mengenai pembelian vaksin berkenaan kini di peringkat akhir dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Sehingga kini, sebanyak 3,500 syarikat menyatakan minat untuk membeli vaksin diperoleh kerajaan negeri melalui program SElangkah VAX, program vaksinasi di bawah SElangkah, yang mana hampir satu juta pekerja industri sudah didaftarkan oleh syarikat masing-masing.

"Kita kini di peringkat akhir perbincangan bagi pembelian itu dan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari akan membuat pengumuman mengenainya dalam tempoh seminggu dua lagi.

"Bagi peniaga dan pekilang kecil dan perusahaan kecil dan sederhana (SME), kerajaan akan memberi vaksin percuma kepada mereka," katanya pada sidang media di Bangunan SUK Selangor, hari ini.

DR Siti Mariah pada sidang sedia khas Covid-19 Selangor di SUK Shah Alam . FOTO Faiz Anuar
DR Siti Mariah pada sidang sedia khas Covid-19 Selangor di SUK Shah Alam . FOTO Faiz Anuar

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah memaklumkan hanya 3.3 peratus penduduk di negeri itu sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini .

Katanya, jumlah itu adalah sangat rendah berbanding penduduk Selangor yang dianggarkan melebihi 6.7 juta, dan berbanding Kuala Lumpur, Pahang, Sabah dan beberapa negeri lain.

"Kita harap kerajaan dapat menumpukan pemberian vaksin ini di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 3:59 PM