- Foto hiasan
- Foto hiasan
Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: Proses pengesanan kontak dan saringan pantas Covid-19 diperkemas SELANGKAH menerusi pelancaran penyelesaian digital bersepadu pertama di Malaysia dikenali sebagai Portal Saringan Komuniti SELANGKAH, baru-baru ini.

Portal itu menawarkan integrasi perantaraan sistem bagi pengesanan kontak, ujian saringan pantas (Rapid Test), diagnosis, laporan serta pemantauan yang sebelum ini masih belum disepadukan.

Pengerusi SELANGKAH Ventures Sdn Bhd Dr Muaz Omar berkata, proses integrasi terbabit amat penting dalam usaha mengurangkan lambakan ujian khususnya apabila berlaku peningkatan kes yang mendadak di dalam sesebuah komuniti.

"Tentunya kami bangga kerana sekali lagi berjaya merintis sebuah sistem integrasi berstruktur dan penyelesaian analitik yang didemokrasikan serta telus bagi semua pemegang taruh.

"Penyelesaian teknologi baharu ini memastikan semua individu berisiko yang sudah dijejaki boleh disaring dan diuji dengan pantas sekali gus membantu melancarkan proses saringan yang kebiasaannya perlu dilakukan petugas barisan hadapan ber'PPE' (dengan peralatan perlindungan diri) saban waktu," katanya.

Portal itu diperkenalkan pada 2 Disember lalu menerusi program ujian saringan anjuran kerajaan negeri Selangor yang disasar kepada penduduk di beberapa kawasan perumahan sekitar Meru, Klang.

Digerakkan oleh ketua kampung dan wakil rakyat bagi proses hebahan, portal itu nyata mendapat sambutan menggalakkan apabila rata-rata ahli komuniti mengambil langkah melakukan pra-pendaftaran sehari sebelum pelancaran sebagai mana disaran melalui portal terbabit iaitu https://screening.selangkah.my

Melalui penggunaan penyelesaian digital baharu itu, 44.2 peratus daripada populasi sasaran berjaya disaring dalam masa lima jam dengan keputusannya pula boleh disemak dalam termpoh 24 jam selepas saringan dilakukan.

  Bagi memastikan keseragaman penyampaian laporan, keputusan ujian dikongsi secara terus dengan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal berpusat Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

  Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, 69 peratus penduduk pada proram itu didapati melakukan pra-pendaftaran kendiri melalui SELANGKAH.

"Ternyata digitalisasi memudahkan urusan penjejakan kontak dalam mengekang penularan wabak ini," katanya menerusi ciapan di laman Twitter beliau.

Orang ramai disaran mendaftar dengan SELANGKAH untuk menerima notifikasi mengenai program saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri Selangor yang akan dijalankan berhampiran kawasan masing-masing dari semasa ke semasa.

Untuk maklumat lanjut mengenai SELANGKAH, layari www.selangkah.my atau ikuti akaun media sosial rasmi SELANGKAH di Facebook (https://www.facebook.com/mySElangkah) dan Twitter (https://twitter.com/selangkah_cvd19).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 1:43 PM