GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


SHAH ALAM: Selangor menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kebenaran penggunaan sijil vaksinasi SELangkah bagi keperluan aktiviti harian di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri menyifatkan keputusan itu adalah suatu pengiktirafan terhadap inisiatif kerajaan negeri bagi melengkapi kerajaan Pusat dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

"Kerajaan negeri menyambut baik kenyataan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin dalam Sidang Media Menteri Kesihatan semalam yang bersetuju membenarkan penggunaan sijil vaksinasi SELangkah bagi penerima vaksin di bawah Program Vaksinasi Selangor (SelVax).

"Oleh itu, rakyat di Selangor yang masih belum menerima sijil vaksinasi digital MySejahtera kini boleh menggunakan sijil vaksinasi di dalam aplikasi SELangkah sebagai dokumen pengesahan bagi keperluan aktiviti harian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Siti Mariah dalam kenyataan sebelum ini berkata, Selangor memohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan penerima vaksin pelalian COVID-19 menerusi SelVax menggunakan sijil digital SELangkah sementara ia belum disahkan dalam aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, permohonan itu dibuat berikutan penerima vaksin di bawah program SelVax mengadu belum memperoleh sijil digital vaksinasi daripada MySejahtera.

Berdasarkan rekod SELangkah, sebanyak 3,632 aduan diterima daripada mereka yang belum memperoleh sijil vaksinasi digital MySejahtera.

Sehingga 7 September lalu, SELangkah menghantar sejumlah 159,919 rekod penerima yang lengkap dua dos vaksin SelVax kepada pasukan MySejahtera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 4:25 PM