PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2021, malam ini. FOTO ihsan RTM
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2021, malam ini. FOTO ihsan RTM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Gelombang ketiga Covid-19 kali ini lebih mencabar kerana wujudnya varian baharu dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kes positif Covid-19 beberapa minggu lalu turut menunjukkan peningkatan dengan lebih 4,000 kes beberapa hari lalu.

Beliau berkata, lebih membimbangkan terdapat varian baharu lebih ganas seperti dialami di India, United Kingdom, Brazil, Afrika Selatan dan beberapa negara lain.

"Penularan varian baharu ini harus disekat. Kita mengambil satu langkah tegas dan drastik bagi memutuskan rantaian jangkitan ini di negara kita.

"Dijangkakan jumlah kes harian Covid-19 akan mencecah lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

"Pada masa itu, seluruh sistem kesihatan negara kita yang sedang berada dalam keadaan kritikal pada masa ini akan lumpuh seperti berlaku di negara lain, pesakit mati bergelimpangan di jalan raya kerana hospital tidak lagi mempunyai kemampuan untuk menerima pesakit," katanya dalam Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri, malam ini.

Beliau berkata, pada masa ini, hospital di negara kita sudah hampir mencapai kapasiti maksimum dengan katil wad unit rawatan rapi (ICU) semakin penuh.

Menurutnya, kerajaan boleh menambah jumlah katil, bekalan oksigen dan ventilator, tetapi jika kes positif naik dengan mendadak, sebanyak mana katil dan kelengkapan perubatan lain yang disediakan pun tidak akan mampu menampung jumlah pesakit kian bertambah setiap hari.

"Saya meneliti data sejak beberapa minggu lalu, kawasan yang dahulunya hijau sedikit demi sedikit bertukar menjadi kuning dan kemudian merah.

"Kerajaan pada mulanya mengambil tindakan secara bersasar untuk mengekang penularan virus dalam komuniti, tetapi virus ini menular dengan begitu cepat dan kadar kebolehjangkitan varian baharu ini lebih tinggi.

"Dalam tempoh beberapa minggu sahaja hampir semua kawasan di negara kita bertukar menjadi merah dengan hampir kira-kira 70 peratus kes jangkitan berlaku secara sporadik iaitu penularan di dalam komuniti dan hampir 80 peratus kes positif yang dikesan tidak mempunyai sebarang gejala," katanya.

Muhyiddin berkata, kita harus faham bahawa negara kita sedang berhadapan dengan virus yang begitu cepat merebak.

Beliau berkata, situasi sangat dinamik ini menyebabkan perubahan ke atas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan seperti Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu dilakukan dengan pantas untuk segera mengelakkan penularan jangkitan lebih teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 10:36 PM