NEW Delhi mengalami krisis paling teruk dengan ramai pesakit mati di perkarangan hospital sementara menunggu rawatan.
NEW Delhi mengalami krisis paling teruk dengan ramai pesakit mati di perkarangan hospital sementara menunggu rawatan.
Syah Rul Aswari Abdullah

PADA tahun lalu, India menjadi antara negara paling terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. Ia menyebabkan kerajaan negara itu mengambil langah drastik untuk mengenakan sekatan pergerakan (lockdown) di seluruh negara 25 Mac 2020. Ketika itu, tidak ramai yang membayangkan bagaimana negara dengan 1.36 bilion penduduk ini akan menutup semua aktiviti ekonominya.

Lockdown fasa pertama selama 21 hari itu berakhir pada 14 April 2020. Bagaimanapun, seperti negara lain, ia tidak terburu-buru membuka semula sektor ekonominya namun mula melonggarkan peraturan berhubung kawalan Covid-19 secara berperingkat.

Jumlah jangkitan mula menurun pada musim panas lalu dan menjelang Januari lalu iaitu ketika program vaksinasi Covid-19 mula dilaksanakan, menteri kesihatan negara itu dengan yakin menyatakan negara itu sudah berjaya menangani pandemik berkenaan.

Namun, selepas beberapa bulan dan rakyat India kembali kepada kehidupan seperti sebelum pandemik, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Sejak beberapa minggu lalu, media melaporkan bahawa negara itu kini bergelut dengan gelombang kedua penularan Covid-19. Kes harian melonjak sehingga lebih 300,000 sehari dan jumlah kematian harian melebihi 3,000 orang.

Kali ini, Covid-19 semakin 'mengganas'. Varian baharu Covid-19 dikesan di India iaitu B.1.617 dan ia kini sudah menular ke sekurang-kurangnya 17 negara. Pada masa sama, beberapa varian lain yang turut menular di negara berkenaan. Ketika artikel ini ditulis pada Khamis lalu, Covid-19 menyebabkan 3,645 kematian di India, sekali gus angka kematian harian tertinggi di negara itu.

Pada hari sama, Kementerian Kesihatan negara itu mendedahkan jumlah kematian akibat virus itu di India kini berjumlah 204,832. Bagaimanapun, AFP melaporkan bahawa pakar berpendapat bahawa jumlah itu sebenarnya jauh lebih tinggi memandangkan banyak kes yang tidak dilaporkan.

Apa yang berlaku di India pada minggu ini seakan mengulangi 'mimpi ngeri' di sesetengah negara Eropah dan Amerika Selatan ketika kemuncak penularan Covid-19 pada tahun lalu.

Jumlah kemasukan pesakit melebihi bilangan katil. Apa yang lebih menakutkan, fasiliti kesihatan termasuk hospital utama hampir kehabisan bekalan oksigen.

Gas itu kini lebih berharga daripada emas untuk menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan bantuan pernasafan.

Ibu negara, New Delhi mengalami krisis paling teruk dengan ramai pesakit mati di pekarangan hospital sementara menunggu rawatan, selain terpaksa berkongsi katil dan bekalan oksigen. Sejak beberapa hari lalu juga, media menunjukkan imej dan rakaman video pusat pembakaran mayat yang sesak.

Mayat dibiarkan di atas pengusung di atas tanah sementara menunggu untuk dibakar. Ia memaksa pihak berkuasa membina petak untuk tempat pembakaran tambahan di taman berhampiran.

Malah, pokok di taman juga dibenarkan untuk ditebang bagi membakar mayat pesakit Covid-19.

Susulan perkembangan ini, negara asing termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Singapura menghantar bantuan kecemasan bagi membantu India menangani gelombang kedua pandemik Covid-19.

Jadi apa yang menyebabkan hal ini? Bernama melaporkan bahawa faktor perhimpunan awam secara besar-besaran seperti aktiviti berkait keagamaan, kempen politik dan majlis perkahwinan dikatakan sebagai punca kepada gelombang baharu itu di samping program pemvaksinan yang dipandang enteng. India sebelum ini membenarkan perhimpunan keagamaan secara besar-besaran, malah ketika artikel ini ditulis, fasa terakhir pilihan raya di Bengala Barat masih rancak berlangsung.

Dari satu segi, apa yang berlaku di India sepatutnya menjadi pengajaran kepada negara lain. Kita tidak boleh terlalu yakin dengan terlampau awal mengumumkan kemenangan dalam 'perang' untuk melenyapkan virus ini.

Ketersediaan vaksin juga bukan bermakna Covid-19 akan lenyap begitu sahaja. Malah, jika kita alpa, virus ini akan kembali, tetapi dalam bentuk yang mungkin lebih menakutkan seperti yang berlaku di India.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 5:59 AM