GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kes jangkitan Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak menunjukkan penurunan yang ketara dengan jumlah penggunaan katil melebihi 100 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini berikutan kemunculan varian baharu yang mengakibatkan kes jangkitan Covid-19 dikesan dengan gejala serius selain tempoh pemulihan yang lama.

Beliau berkata, tren kemasukan kes Covid-19 ke ICU menunjukkan peningkatan bermula sejak 25 April sehingga 12 Jun lalu yang mana jumlah penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus

"Varian baharu mengakibatkan kes dikesan pada kategori empat dan lima dan merosot pada kadar yang lebih cepat. Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya di kalangan golongan rentan seperti warga emas serta pesakit komorbiditi.

"Penggunaan kapasiti ICU melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan kerana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, penggunaan katil melebihi kapasiti juga disebabkan oleh keperluan tempoh pemulihan yang lama bagi pesakit untuk sembuh disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 yang serius.

Katanya, secara purata tempoh rawatan di ICU bagi kategori empat adalah antara 14 ke 16 hari manakala bagi pesakit kategori lima pula tempoh rawatan di ICU antara 19 ke 26 hari.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersiapsiaga dengan mengambil beberapa langkah antaranya menambah kapasiti katil iaitu sebanyak 11,598 katil di hospital dan 31,861 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

"KKM menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal Covid-19, bekerjasama dengan hospital pengajar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Hospital Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia.

"KKM bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penubuhan Hospital Medan. Setakat ini enam Hospital Medan dibina. Kita turut bekerjasama dengan 112 hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit Covid-19 yang membabitkan 1,274 katil wad biasa dan 128 katil ICU," katanya.

Beliau memohon masyarakat untuk kekal mematuhi norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya kekal mengurangkan aktiviti pergerakan di luar rumah kerana dibimbangi terkena jangkitan daripada varian baharu yang lebih mudah merebak dan mengakibatkan penyakit teruk serta mendaftar diri mendapatkan vaksin dengan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut tarikh janji temu ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 8:20 PM