PETUGAS kesihatan membawa mangsa Covid-19 yang meninggal dunia ketika dikuarantin di rumah di Bandung. FOTO AFP
PETUGAS kesihatan membawa mangsa Covid-19 yang meninggal dunia ketika dikuarantin di rumah di Bandung. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Indonesia bakal mengatasi India sebagai pusat baharu penularan pandemik Covid-19 di Asia dengan jumlah jangkitan harian melebihi 40,000 kes selama dua hari berturut-turut.

Kompas yang memetik Nikkei Asia melaporkan, varian Delta kini sudah menular di luar Pulau Jawa, pulau terpadat di Indonesia.

Negara itu merekodkan 47,899 jangkitan baharu, pada Selasa.

Ini antara rekod tertingginya, meningkat daripada 40,427 kes, sehari sebelumnya.

Sementara itu, di India, jumlah kes menurun kepada 32,906, berbanding 37,154 kes, pada hari sebelumnya.

Apa yang lebih merisaukan, daripada 270 juta penduduk, Indonesia mencatatkan 132 kes Covid-19 untuk setiap satu juta orang.

Sedangkan di India, hanya 26 kes untuk setiap satu juta orang.

Kadar kes positif bagi individu yang disaring di Indonesia adalah kira-kira 30 peratus, sepanjang tempoh minggu lalu.

Sedangkan di India, kadar itu hanya dua peratus.

Secara kumulatif, jumlah kes Covid-19 di India masih yang tertinggi di Asia dengan 30.9 juta kes dan 410,784 kematian pada Selasa.

Ia diikuti Indonesia dengan 2,615,529 kes dan 68,219 kematian.

Angka kes di India terus turun sejak Mei lalu.

Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Sadikin berkata, kadar penggunaan katil pesakit Covid-19 di 12 wilayah negara itu sudah melepasi 70 peratus.

Di Jakarta, kadar penggunaan katil mencecah 90 peratus dan beberapa fasiliti diubah menjadi hospital khusus untuk pesakit Covid-19.

Sadikin berkata, kerajaan Indonesia sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi peningkatan kes 30 peratus selama dua minggu berikutnya.

Langkah yang dilakukan termasuk mengubah lebih banyak katil hospital biasa menjadi kemudahan rawatan untuk Covid-19.

Kerajaan Indonesia pada awal tahun ini, menetapkan 30 peratus dari 400,000 katil hospital untuk rawatan Covid-19.

Tapi semuanya penuh selepas sambutan Aidilfitri Mei lalu ketika varian Delta yang lebih cepat menular tersebar ke seluruh negara itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:45 AM