SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah. FOTO arkib NSTP
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah. FOTO arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar keriangan menyambut Aidilfitri esok tidak membuatkan rakyat lupa dalam menghargai berat bebanan ditanggung petugas barisan hadapan terutamanya kakitangan hospital dalam menangani Covid-19.

Baginda turut bertitah supaya golongan berada yang berterusan dilimpahi rezeki walaupun ketika pandemik Covid-19 tidak lupa mempamerkan sifat kesyukuran dengan menghulurkan bantuan kepada golongan susah yang terkesan dengan pandemik terbabit.

"Sudah lebih setahun doktor, jururawat dan kakitangan pembantu di hospital bertugas tanpa mengenal rehat, menghadapi keletihan, menghadapi risiko, berusaha mahu meringankan tanggungan pesakit serta menyelamatkan sebanyak nyawa.

"Beta dan Raja Permaisuri Perak (Tuanku Zara Salim) menzahirkan penghargaan kepada khidmat yang mereka laksanakan secara komited.

"Sejak Covid-19 melanda dunia, ramai yang kehilangan ahli keluarga, terputus sumber pendapatan, hilang pekerjaan, dan bertambah ramai yang menganggur. Ekonomi dunia terjejas teruk dengan setiap hari bertambah ramai orang yang jatuh ke lembah kemiskinan.

"Oleh itu, dalam kalangan kita yang bertuah, dilindungi Ilahi daripada jangkitan penyakit, dan dalam kalangan kita yang terus dilimpahi rezeki; pamerkanlah sifat kesyukuran dengan menghulurkan bantuan kepada saudara kita yang dibelenggu kesusahan," titah baginda melalui perutusan khas sempena Aidilfitri.

Baginda bertitah, Aidilfitri hendaklah dirayakan dengan norma baharu, khususnya dengan mematuhi penjarakan fizikal, meminimumkan sesi kunjungan antara rumah ke rumah, serta mengelakkan perhimpunan dalam bilangan yang ramai agar jangkitan dapat dikawal daripada terus merebak.

Sultan Nazrin bertitah, Aidilfitri hendak juga dijadikan hari untuk mengeratkan persaudaraan sebagaimana seruan Rasulullah SAW yang mengisytiharkan Aidilfitri sebagai hari kedamaian, kegembiraan, dan keriangan.

"Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, wajib diambil ingatan bahawa dunia sedang bergelut menghadapi musibah berpunca daripada virus Covid-19. Sedarilah! Lebih 160 juta jangkitan sudah berlaku dan lebih 3.5 juta kematian sudah diratapi.

"Sambutlah Aidilfitri dalam suasana damai, gembira dan riang dengan mengeratkan silaturahim sesama anggota keluarga. Sambutlah Aidilfitri dengan menyemaikan rasa kasih sayang sesama insan, dan sinarkan sifat persaudaraan serta cahayakan sifat keinsanan bersama fajar Aidilfitri," titah baginda.

Titah Sultan Nazrin lagi, baginda turut menghargai selain mendoakan pelbagai pihak yang mengendalikan pelbagai khidmat termasuk pengamal media yang diletakkan sebaris dengan peranan anggota pasukan keselamatan dalam membolehkan Aidilfitri disambut secara aman dan tenteram.

"Anggota pasukan keselamatan iaitu polis dan tentera, bomba, kakitangan penjara, imigresen dan kastam; sektor pengangkutan dan perkhidmatan, begitu juga kakitangan media, radio dan televisyen.

"Semoga khidmat mereka diterima Allah SWT sebagai amal makruf (kebajikan) yang dikurniakan keberkatan semasa di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika di alam barzakh, dan diberatkan timbangan amal ketika di Padang Mahsyar," titah Sultan Nazrin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 11:14 AM