Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Hikmah dan kebijaksanaan kepimpinan Rasulullah SAW wajib diambil iktibar, dijadikan panduan dan pedoman, terutama dalam kalangan mereka yang diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan, baik ulama serta umara.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kepimpinan baginda tidak retorik, tetapi disuburkan melalui niat yang ikhlas dan pengorbanan yang jujur, melalui amal makruf, melalui adab pekerti mulia dan tindakan yang luhur.

Sultan Nazrin berkata, Rasulullah SAW gigih menegakkan kebenaran, tegas melaksanakan keadilan dan berjaya memperoleh sokongan dan keyakinan, lantas mengupayakan baginda mengurus tadbir pemerintahan hingga berjaya melimpahkan kesejahteraan kepada ummah.

"Pemerintahan baginda teguh berpegang kepada hukum, gigih mencegah kemungkaran, tegas menegur kesalahan, walaupun melibatkan sahabat, anggota keluarga, atau anggota kabilah.

"Baginda tidak terpesona dengan kemewahan dunia, jauh sekali tergoda mahu membina kekayaan diri dan kekayaan keluarga.

"Ketika wafat, baginda meninggalkan hanya sebilah senjata, seekor kuda dan tanah yang telah disedekahkan, tidak meninggalkan kekayaan harta benda untuk direbut, tetapi yang ditinggalkan ialah didikan dan amalan baik, agar dijadikan panduan dan pedoman, dalam usaha membina kehidupan ummah yang sejahtera, kehidupan ummah yang mendapat keredaan, kehidupan ummah yang mendapat berkat dan rahmat Ilahi," titah baginda dalam perutusan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan.

Titahnya, pemimpin yang menghayati perintah Allah SWT menyebabkan negara mendapat kesejahteraan, keredaan.

Baginda bertitah, ia akan memberikan berkat dan rahmat ilahi, dilimpahi kedamaian dan kemakmuran, dilindungi daripada bencana dan malapetaka, buminya subur dan kaya.

Selain itu baginda turut bertitah, dengan mengambil Rasulullah SAW sebagai contoh, penduduk hidup rukun dan aman, dan pimpinan negara diamanahkan dalam kalangan insan yang ikhlas, jujur dan bertakwa, pemimpin yang memiliki rasa belas dan rasa ihsan kepada warganya.

"Pemimpin yang baik, perlu dibantu oleh barisan ulama yang tegas dan barisan umara yang ikhlas, serta dilengkapi dengan peniaga yang jujur kerana Rasulullah SAW turut meletakkan status peniaga yang jujur, sejajar dengan wali, siddiqin, syuhada dan solihin.

"Kesejahteraan sesuatu bangsa dan kemakmuran sesebuah negara amat dipengaruhi oleh sifat dan akal bicara seseorang pemimpin. Ulama besar, umara berwibawa dan peniaga yang berjaya akan lahir dalam negara yang pemimpinnya memiliki iman dan takwa. Jika pemimpin sentiasa insaf akan tanggungjawabnya kepada ummah dan kepada negara, serta lebih insaf akan tanggungjawab lebih besar terhadap Allah SWT," titah baginda.

Titahnya, keadaan itu akan menjadikan khazanah negara akan diurus secara telus manakala sumber negara akan diagihkan secara saksama dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan.

Selain itu titah baginda, pemimpin tidak akan mengizinkan berlakunya himpunan kekayaan yang diperoleh secara tidak jujur dan tidak telus, apatah lagi melalui kaedah yang meminggirkan peraturan dan mempersendakan undang-undang.

"Baginda bukan saja tidak terlepas daripada penglihatan Ilahi, malah sebagai pemimpin, baginda turut dinilai oleh pengikutnya.

"Justeru itu Baginda sentiasa mengamalkan dan mempamerkan sebaik-baik contoh teladan melalui sifat-sifat amanah, jujur, ikhlas, telus, berdisiplin dan berintegriti," titah Sultan Nazrin.

Titah Sultan Nazrin turut menyentuh mengenai isu rasuah yang banyak berlaku kebelakangan ini.

Titah baginda berdasarkan laporan berita, perlakuan rasuah kini bukan saja berlaku secara berleluasa, malah pada skala yang besar.

Lebih membimbangkan, titah baginda, ia turut dilakukan secara lebih berani dan terbuka.

"Rasuah ialah barah amat bahaya. Rasuah terbukti menjadi punca penderitaan warga dan kemiskinan rakyat, kejatuhan kerajaan dan pemerintahan, keruntuhan negara dan empayar, serta keruntuhan tamadun dan budaya.

"Ulama dan umara tidak boleh memejamkan mata, memekakkan telinga dan membisu lidah terhadap perbuatan rasuah. Ulama dan umara wajib berganding usaha - berganding tenaga berjihad menghapuskan rasuah," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, pemimpin berperanan besar untuk mewujudkan dunia yang aman dan kehidupan yang sejahtera dan ummah merindui kepimpinan yang adil lagi saksama, kepimpinan yang berani menegakkan kebenaran dan tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

Titah baginda lagi, ummah merindui kepimpinan yang tidak melakukan kezaliman, tidak menindas, tidak menipu dan tidak bersifat munafik.

Selain itu baginda bertitah, ummah semakin menyuarakan kerinduan untuk dianugerahkan kepimpinan yang tidak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, tidak mengamalkan nepotisme dan tidak bersifat pecah amanah.

Di akhir titah, baginda turut berdoa Allah SWT mengurniakan pemimpin yang amanah dalam pengurusan negara, ikhlas, berani menegakkan kebenaran dan tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 10:32 PM