SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah. Gambar arkib NSTP
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah. Gambar arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan semua masjid dan surau di Perak melaksanakan solat berjemaah dengan merapatkan saf tanpa perlu mengadakan penjarakan fizikal antara jemaah selain mengikuti keluasan ruang sebenar mulai 1 April ini.

Sultan Nazrin bertitah, langkah berkenaan diambil selaras dengan permulaan Fasa Peralihan Endemik di seluruh negara bermula pada tarikh berkenaan.

"Bermula solat Subuh Jumaat, 1 April 2022, solat fardu, solat Jumaat, dan solat jenazah boleh dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah, dan bilangan jemaah yang dibenarkan ialah mengikuti keluasan ruang masjid atau surau," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah sempena sesi Sembah Taklimat Aktiviti Masjid dan Surau di Perak sempena fasa peralihan ke endemik di Bilik Gerakan, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Baginda bertitah, justeru bermula tarikh berkenaan, solat Jumaat hanya boleh dilaksanakan di masjid atau surau diri Jumaat (SDJ).

Bagaimanapun titah baginda, budi bicara masih diberikan terhadap pihak sekolah asrama penuh, sekolah, dan pusat pengajian seperti universiti, maktab, dan kolej untuk mengadakan solat Jumaat di surau, bangunan, atau kawasan institusi berkenaan demi melindungi keselamatan pelajar.

Mengenai aktiviti pengimarahan di bulan Ramadan ini, Sultan Nazrin bertitah, jawatankuasa serta pegawai masjid diberikan budi bicara menentukan bilangan rakaat solat sunat Tarawih yang difikirkan munasabah di masjid dan surau masing-masing.

"Walaupun Negeri Perak pada lazimnya menetapkan 20 rakaat, namun dalam tempoh peralihan ini pertimbangan sedemikian diberikan bagi meminimumkan risiko jangkitan.

"(Begitu juga) untuk meminimumkan tempoh pendedahan jemaah kepada udara yang terperangkap dalam bangunan, tazkirah yang dibenarkan selepas solat sunat Witir hendaklah tidak melebihi 30 minit.

"Program qiamullail dan iktikaf pada waktu malam di masjid dan surau juga dibenarkan, dengan mengambil langkah preventif jangkitan berpandukan nasihat Jabatan Kesihatan," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, turut dibenar bagi diadakan di masjid dan surau adalah aktiviti tadarus al-Quran, kuliah dan kelas pengajian serta penyediaan hidangan untuk berbuka puasa (iftar), hidangan selepas solat Tarawih (moreh), mahupun hidangan sahur secara bungkusan.

"Hidangan iftar, hidangan moreh dan hidangan sahur di masjid dan surau turut dibolehkan dengan penyediaan makanan secara bungkus, dan (justeru) tidak dibenarkan jamuan secara hidangan terbuka, terutama selepas solat Tarawih.

"Beta amat memahami hasrat umat Islam untuk meningkatkan aktiviti keagamaan dan ibadah secara berjemaah dan berkumpulan terutama dalam bulan Ramadan," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, bagaimanapun arahan menggantung daripada kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenankan itu, dapat diberikan sekiranya berdasarkan laporan, maklumat, serta perakuan daripada Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kesihatan bahawa angka jangkitan di kawasan tertentu dianggap kritikal.

"Pegawai Tadbir Agama Daerah (PTAD), selepas berunding dan mendapat persetujuan Orang Besar Jajahan (OBJ) atau Pegawai Daerah, boleh mengeluarkan arahan menggantung mana-mana masjid dan surau daripada kelonggaran SOP yang diperkenankan ini.

"Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) hendaklah mengeluarkan pekeliling terperinci mengenai kaedah dan tata cara pengurusan aktiviti di masjid dan surau.

"Yang merangkumi perkara menyentuh tahap kebersihan dan sanitasi, memastikan secara harian berlaku putaran udara bersih dalam bangunan, serta perkara yang masih perlu dipatuhi oleh jemaah seperti memakai pelitup muka dan digalakkan membawa sejadah sendiri," titah Sultan Nazrin.

Titah baginda lagi, PTAD dan OBJ hendaklah berperanan aktif menyedarkan rakyat khususnya di luar bandar mengenai kepentingan meningkatkan daya tahan tubuh atau imuniti untuk menangani wabak Covid-19 melalui suntikan dos penggalak vaksinasi.

Baginda bertitah, berpandukan sembah taklimat Pengarah Kesihatan Negeri, peratus yang menerima suntikan dos penggalak masih rendah, terutama dalam kalangan penduduk di luar bandar dan umat Islam.

"OBJ dan PTAD hendaklah turun ke kariah-kariah, menjalinkan kerjasama dengan jawatankuasa masjid serta surau bagi mengenal pasti ahli kariah yang mungkin perlu dibantu daripada segi pemahaman dan daripada segi urusan untuk mendapatkan suntikan (dos penggalak).

"(Yang mana) sesuai (juga) aktiviti suntikan (dos penggalak) dilakukan di perkarangan masjid dan surau," titah Sultan Nazrin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 4:08 PM