FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Bermula minggu ini, Pulau Pinang membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 150 orang di masjid negeri dan daerah.

Ia diputuskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) selepas negeri ini memasuki peralihan fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

JHEAINPP turut membenarkan solat Jumaat diadakan di masjid kariah dengan jumlah jemaah tidak melebihi 100 orang dan tidak melebihi 50 orang di semua surau di negeri ini.

Pengarahnya, Mohd Zakuan Zakaria berkata, garis panduan dan tatacara keagamaan di masjid dan surau bagi tempoh pelaksanaan fasa dua PPN sudah melalui perbincangan khas yang diadakan bersama Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Katanya, selain ketetapan bagi pelaksanaan solat Jumaat, pihaknya turut membenarkan solat fardu diadakan di semua masjid dan surau di negeri ini dengan kapasiti kehadiran jemaah yang sama.

"Solat sunat Aidiladha juga dibenarkan dilakukan di semua masjid dan surau dengan jumlah kehadiran jemaah seperti ditetapkan bagi masjid negeri dan daerah, masjid kariah serta surau.

"Solat jenazah dan pengebumian turut dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 30 individu termasuk imam, ahli jawatankuasa kariah dan keluarga terdekat sahaja," katanya, hari ini.

Mohd Zakuan berkata, aktiviti ibadat korban dibenarkan bagi dijalankan dengan mengikut Garis Panduan Ibadat Korban Negeri Pulau Pinang Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 Tahun 1442H/2021M.

Namun pihaknya melarang sebarang majlis pengimarahan atau sosial diadakan termasuk memasak atau mengadakan jamuan selepas solat sunat Aidiladha.

Sementara aktiviti menziarah kubur masih lagi tidak dibenarkan sehingga hari ini.

"Sejak 25 November tahun lalu, 19 masjid ditutup berikutan penularan Covid-19. Pentadbir, ahli jawatankuasa masjid serta surau perlu sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

"Arahan mengenai pelaksanaan aktiviti masjid dan surau akan dikeluarkan dari semasa ke semasa tertakluk kepada situasi semasa Covid-19 dan nasihat MKN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 4:26 PM