FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pegawai penyiasat kanan polis yang dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky, menarik balik permohonan habeas corpus supaya dibebaskan serta-merta daripada tahanan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan kemudiannya membatalkan permohonan yang difailkan Asisten Superintendan Baldev Singh Gurdial Singh, 36, selaku pemohon.

Terdahulu, peguam Meneesha Kaur yang mewakili Baldev Singh, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 5 Mei lalu.

"Anak guam saya dibebaskan dengan jaminan polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor. Sehubungan itu, saya diarahkan untuk menarik balik permohonan habeas corpus ini," katanya.

Peguam Persekutuan Norazlin Mohamad Yusoff mengesahkan perkara tersebut dan tidak membantah permohonan pemohon.

Pada 30 April lalu, Baldev Singh memfailkan permohonan habeas corpus dengan menamakan Superintendan Amran Mohd Jusin (pegawai penyiasat) dan Ketua Polis Negara masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Berdasarkan afidavit sokongan pemohon yang difailkan bersama permohonan itu, Baldev Singh mendakwa beliau ditahan pada 26 April lalu di ibu negara untuk siasatan yang membabitkan suatu kes jenayah di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan SOSMA.

Pada 9 April lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.

Nicky, 33, yang merupakan pengasas Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor, menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 1:10 PM