GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menarik balik permohonan 'habeas corpus' supaya mereka dibebaskan serta-merta daripada tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky.

Peguam Latheefa Koya yang mewakili kedua-dua lelaki berusia 41 dan 42 tahun selaku pemohon, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa permohonan itu ditarik balik berikutan kedua-dua anak guamnya telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 18 Mei lalu.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh kemudiannya membatalkan permohonan itu.

Hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan habeas corpus itu.

Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti mewakili kesemua responden.

Kedua-dua pemohon memfailkan permohonan itu melalui notis usul secara berasingan di Mahkamah Tinggi di sini pada 5 Mei lalu dengan menamakan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, seorang pegawai polis, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Mereka memohon perintah bahawa penangkapan serta penahanan mereka pada 21 dan 27 April lalu adalah tidak teratur, di luar bidang kuasa kawasan polis Johor dan tidak sah.

Kedua-dua lelaki itu juga mendakwa siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 130V sehingga 130ZB Kanun Keseksaan adalah terlampau luas serta merangkumi elemen berbeza dan responden tidak mempunyai asas untuk menahan pemohon di bawah Sosma.

Selain itu, mereka mendakwa tiada unsur kesalahan yang membenarkan penggunaan Sosma dan penahanan mereka adalah tidak sah, melanggar undang-undang dan bersifat mala fide kerana bercanggah, antara lain, dengan Fasal 5 dan Fasal 149 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 9 April lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.

Nicky, 33, pengasas Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Ops Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 2:18 PM