GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Bukit Mertajam: Seramai 21 orang daripada enam keluarga yang menjadi mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Bukit Teh, Machang Bubok di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mereka yang dipindahkan itu terdiri daripada 11 lelaki dan 10 wanita termasuk enam kanak-kanak dipindahkan ke PPS berkenaan bermula 12.30 tengah malam tadi.

"Setakat 3 pagi, hanya 21 orang termasuk dua lelaki orang kurang upaya (OKU) dipindahkan ke PPS di Dewan Kampung Bukit Teh itu berikutan banjir di kawasan rumah mereka belum surut dan berbahaya untuk penduduk terbabit tinggal di kediaman masing-masing," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hujan lebat yang berlaku lebih dua jam iaitu bermula 4 petang semalam menyebabkan banjir kilat di beberapa lokasi di Machang Bubok, antaranya Kampung Bukit Teh, Taman Bidara dan Kampung Tasek Junjong, Kampung Maggis dan Kampung Berangan 9.

Katanya, kampung terbabit dinaiki air setinggi 0.5 meter (m) hingga 1 m dan berdasarkan pemantauan, polis mendapati banjir semakin surut serta keadaan terkawal.

Shafee berkata, selain banjir, polis turut menerima laporan berhubung kejadian ribut di Kubang Semang sehingga menyebabkan pokok tumbang di Kampung Pelet, Kampung Petani, Jalan Guar Perahu, Taman Selamat dan Kampung Bukit Indera Muda yang menyebabkan beberapa rumah rosak.

"Berikutan kejadian banjir dan pokok tumbang itu, saya meminta balai polis, pasukan kenderaan peronda polis (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan trafik digerakkan untuk memantau keadaan banjir, membuat kawalan lalu lintas serta memberi bantuan yang diperlukan di lokasi kejadian," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubok Lee Khai Loon berkata, pihaknya menyediakan makanan nasi goreng, mi goreng dan burger kepada mangsa banjir yang terbabit bagi memastikan mereka mempunyai makanan terutama untuk bersahur.



Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 10:40 AM