GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


Sepang: Semua mangsa banjir di sekitar Sepang diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim berkata, ia susulan seorang penduduk di mukim Labu dikesan positif wabak itu sebelum dipindahkan ke PPS, semalam.

Beliau berkata, seramai 206 penduduk di 11 kawasan di mukim Labu dan Dengkil yang terjejas akibat banjir, semalam, masih ditempatkan di beberapa PPS.

Menurutnya, setakat hari ini, air masih belum surut dan bertakung di kediaman penduduk.

"Lokasi banjir di mukim Labu membabitkan Kampung Chincang, Kampung Salak Tinggi, Kampung Giching dan Taman Dataran Abadi, Labu Lanjut.

"Mukim Dengkil pula membabitkan Kampung Sri Tanjong, Kampung Chemperai, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Ampar Tenang, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kota Warisan, Kampung Orang Asli Bukit Tampoi, Kampung Orang Asli Sungai Melut dan Kampung Orang Asli Batu 28, Jenderam Hilir," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang berkata, penduduk mukim Labu akan dipindahkan di Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Giching manakala mereka yang positif pula ditempatkan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Giching dan SRA Labu Lanjut.

Beliau berkata, bagi Mukim Dengkil pula, Dewan Gemilang Taman Gemilang digunakan sebagai PPS bagi penduduk positif manakala SRA Kampung Dato Ahmad Razali pula penduduk yang negatif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 1:05 PM