Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 1,609 kotak pelbagai jenis mercun dan sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Pajero bernilai RM29,825 dirampas di Kampung Lanchang, Pasir Mas, hari ini. FOTO IHSAN PGA7
Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 1,609 kotak pelbagai jenis mercun dan sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Pajero bernilai RM29,825 dirampas di Kampung Lanchang, Pasir Mas, hari ini. FOTO IHSAN PGA7
Hidayatidayu Razali


Pasir Mas: Pelbagai jenis mercun untuk pasaran di negeri itu sempena Aidilfitri selain sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Pajero bernilai RM29,825 dirampas di Kampung Lanchang di sini, pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Medan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Superintendan Azhari Nusi berkata, operasi pada jam 7 pagi itu merampas 1,609 kotak pelbagai jenis mercun.

Katanya, ketika anggota membuat rondaan di sekitar Kampung Lanchang, mereka melihat sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota bertugas cuba menahan dan menghampiri kenderaan itu, namun pemandu bertindak memberhentikan kenderaan dan melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

"Pihak kita menunggu kira-kira 20 minit, tetapi tiada individu yang datang untuk menuntut kenderaan terbabit yang bernilai RM15,000.

"Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan menemui 1,609 kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun bernilai RM14,825 disyaki diseludup dari negara jiran," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggota bertugas kemudian merampas barang kes dan dibawa ke Komtak Taman Bakti, Rantau Panjang untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya, siasatan awal mendapati, barang itu disyaki diseludup dari negara jiran melalui jalan yang tidak diwartakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 1:17 PM