BATALION7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 3,932 pod vape bernilai RM117,960 di Pangkalan Haram Pak Su Rani, di sini,  pada jam 2.23 pagi tadi. FOTO ihsan PGA7
BATALION7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 3,932 pod vape bernilai RM117,960 di Pangkalan Haram Pak Su Rani, di sini, pada jam 2.23 pagi tadi. FOTO ihsan PGA7
Hidayatidayu Razali


Rantau Panjang: Pod vape bernilai RM117,960 yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran dirampas dalam serbuan di Pangkalan Haram Pak Su Rani di sini, pagi hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Superintendan Azhari Nusi berkata, sebanyak 3,932 pod vape dirampas pada 2.23 pagi menerusi Op Benteng yang dijalankan itu.

Menurutnya, dalam rondaan Op Benteng itu mengesan sekumpulan lelaki sedang memunggah beberapa kotak dari perahu ke tebing pangkalan dalam keadaan mencurigakan pada 12.30 tengah malam.

"Apabila anggota menghampiri kawasan itu, kesemua lelaki itu melarikan diri ke arah negara jiran dengan menaiki perahu.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kotak menemui pod vape yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran. Polis merampas barang berkenaan untuk siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.

Sementara itu, PGA7 turut merampas 202 kotak mercun pelbagai jenis berjumlah RM11,600 di Kampung Lanchang di sini, pada 6.30 petang semalam.

Menurut Azhari, risikan pihaknya mengesan sebuah kereta jenis Inokom Matrix warna perak dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui 202 kotak mercun pelbagai jenis.

"Mercun berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

"Siasatan awal mendapati, mercun itu diseludup melalui lorong tikus di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand untuk dipasarkan di sekitar Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 3:49 PM