Gambar hiasan
Gambar hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kajian bagi tempoh kebelakangan menunjukkan terdapat peningkatan kes membabitkan penipuan cinta atau 'Love Scam' didalangi warga Afrika.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sejumlah 1,535 kes dilaporkan pada 2019 membabitkan kerugian mangsa keseluruhannya berjumlah RM79,115,430.37.

Beliau berkata, jumlah kes meningkat 47 kes pada 2020 kepada 1,582 kes dengan jumlah kerugian RM58.3 juta.

"Manakala bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2021, jumlah kes yang sudah dicatatkan adalah sebanyak 549 kes dengan kerugian RM20.6 juta.

"Berbanding tempoh sama tahun 2020, jumlah kes yang dicatatkan bagi 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 83 kes.

"Peningkatan ini adalah satu situasi yang perlu ditangani secara serius. Justeru, tindakan pembanterasan dan pencegahan membabitkan pihak polis dan masyarakat perlu dilaksanakan dengan lebih efektif," katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, penipuan secara Love Scam adalah modus operandi yang paling kerap digunakan sindiket penipuan didalangi warga Afrika dipercayai kerana keberkesanan kaedah itu untuk memerangkap mangsa.

Menurutnya, bagi mengekang kegiatan penipuan itu, sejumlah 2,251 operasi dilaksanakan sejak 2019 hingga Mac lalu.

"Daripada keseluruhan operasi itu, seramai 2,826 berjaya ditahan. Bagaimanapun di sebalik operasi dan tangkapan dilaksanakan secara berterusan oleh pihak polis, rangkaian sindiket dipercayai terus merekrut ahli baru bagi memastikan kesinambungan kegiatan jenayah mereka.

"Beberapa tips boleh dipraktikkan bagi mengelakkan anggota masyarakat diperdayakan sindiket termasuk jangan mudah terpesona dengan gambar-gambar profil yang cantik atau tampan yang digunakan di media sosial.

"Jangan cepat terpedaya dengan kata-kata manis atau janji mereka. Berhati-hati dalam memilih rakan melalui laman sosial atau alam maya terutamanya kenalan yang dikatakan dari luar negara," katanya.

Selain itu beliau menasihatkan supaya jangan mendedahkan nombor akaun bank atau identiti diri dan keluarga kepada mana-mana individu yang tidak dikenali atau baru dikenali di internet.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 6:44 PM