GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Semua 12 hospital kerajaan di negeri ini diaktifkan sebagai hospital Hibrid Covid-19 sejak bulan lalu, bagi menampung peningkatan mendadak kes wabak berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, semua hospital berkenaan beroperasi memberi perawatan pesakit Covid-19 dan bukan rawatan lain.

Katanya, pengaktifan semua 12 hospital kerajaan itu sebagai hospital Hibrid Covid-19 berikutan kekangan kepada pembukaan lebih banyak bilangan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 ketika ini.

"Ia berikutan kekurangan sumber manusia yang terhad dan juga pada masa yang sama bilangan pesakit kritikal bukan Covid-19 yang tinggi memerlukan rawatan rapi di ICU pada masa ini.

"Seramai 49 orang pesakit dirawat di ICU di enam hospital Hybrid Covid-19 negeri ini ketika ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, peratus kapasiti penggunaan katil ICU khusus Covid-19 ketika ini meningkat sebanyak 114 peratus berbanding sejumlah 43 katil ICU khusus untuk Covid-19, sehingga semalam.

"Sejumlah 39 daripada 49 pesakit yang dirawat di ICU itu memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, Johor menyaksikan peningkatan kes Covid-19 yang membabitkan kalangan warga sekolah, membabitkan guru dan pelajar.

Katanya, kebanyakan kes dikesan akibat penularan di dalam rumah berikutan aktiviti sosial keluarga, dalam kumpulan besar tanpa mematuhi prosedur standard operasi (SOP).

"Masih ada keluarga yang mengadakan aktiviti sosial keluarga dalam kumpulan besar seperti berkumpul di pusat hiburan, kenduri kahwin dan aktiviti riadah tanpa mematuhi SOP termasuk tidak memakai pelitup muka.

"Beban yang ditanggung oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) untuk menguruskan bilangan kes jangkitan yang meningkat kebelakangan ini amat mencabar berikutan kekurangan tenaga kerja dan fasiliti yang terhad.

"Oleh itu, kerajaan negeri ingin sekali lagi mengajak masyarakat negeri ini untuk sama-sama bekerjasama kepada memerangi Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 3:48 PM