FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Penggunaan katil unit rawatan rapi (katil ICU) bagi perawatan pesakit Covid-19 di negeri ini mencatatkan penurunan sejak pertengahan Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, walaupun penggunaan katil ICU Covid-19 masih di tahap terhad, ia menunjukkan trend penurunan mulai pertengahan bulan lalu.

Katanya, terdapat 160 katil ICU di hospital kerajaan Johor termasuk di ruang yang diubahsuai dan 108 daripadanya dikhususkan bagi perawatan pesakit Covid-19.

"Pada 6 Julai lalu, kapasiti penggunaan katil ICU Covid-19 adalah 78 peratus, yang mana 68 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

"Mulai pertengahan Jun lalu, kapasiti penggunaan katil adalah antara 77 hingga 85 peratus berbanding Mei iaitu antara 90 hingga 97 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua 12 hospital kerajaan negeri berstatus hibrid iaitu pesakit dan bukan pesakit Covid-19 boleh mendapatkan rawatan sama ada sebagai pesakit luar atau pesakit menerima rawatan termasuk mengendalikan kes kelahiran bayi.

Katanya, terdapat ruang di dewan bedah yang masih digunakan sebagai ruang rawatan pesakit kritikal (re-purposed ICU) dan petugas kesihatan juga terbabit dalam mobilisasi dalaman bagi membantu pengurusan kes Covid-19 di hospital masing-masing.

Dalam pada itu katanya, sehingga kini, kumulatif penerima vaksin bagi suntikan dos pertama bagi negeri ini sebanyak 481,607 (17.2 peratus) dan daripada jumlah itu, 303,087 (10.8 peratus) sudah

lengkap menerima dos kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 5:10 PM