FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Sebanyak 18 kes kematian akibat Covid-19 membabitkan ibu hamil dilaporkan di negeri ini sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, kerajaan negeri memandang serius situasi itu sekali gus akan meningkatkan pemantauan terhadap ibu hamil, termasuk menggalakkan mereka mendapatkan vaksinasi.

"Berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), jumlah ibu hamil di Johor yang menerima satu dos suntikan vaksin adalah seramai 30,000 orang, manakala seramai 9,177 lagi sudah lengkap dua dos," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.

Sementara itu, Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata, kehadiran Variant of Concern (VOC) di Johor turut menyumbang kepada bilangan peningkatan kes dan sehingga Ahad lalu sebanyak 19 kes varian Delta dilaporkan di negeri ini.

"Memang agak membimbangkan melihat kepada kadar kematian akibat Covid-19 yang tinggi iaitu 10.9 peratus di Johor daripada jumlah kematian seluruh Malaysia.

"Kematian akibat Covid-19 kebanyakannya berlaku dalam kalangan golongan rentan iaitu warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi dengan faktor penyumbang utama kepada kematian adalah kelewatan mendapatkan rawatan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri sedang meneliti keperluan bagi membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di zon utara Johor iaitu di Batu Pahat.

"Ia bagi menampung peningkatan kes di bahagian zon utara Johor. Sehingga kini, terdapat tiga PKRC awam di Johor iaitu PKRC Stadium Pasir Gudang, PKRC Olive B dan PKRC Sri Danga dengan jumlah keseluruhan katil sebanyak 2,156 katil.

"Berdasarkan data pada 5 September lalu, seramai 1,597 pesakit sedang dirawat di tiga PKRC berkenaan, dengan kadar penggunaan katil secara purata adalah sebanyak 74 peratus.

"Sehingga kini, terdapat 27,179 pesakit telah dimasukkan ke PKRC awam terbabit. Terdapat juga sebuah PKRC Swasta iaitu di DB Kompleks Iskandar Puteri yang mempunyai kapasiti 1,200 katil dan 9,597 pesakit dirawat di PKRC swasta ini," katanya.

Sementara itu, Vidyananthan berkata sebanyak 28,768 kes atau 20 peratus kes sporadik dilaporkan daripada keseluruhan 138,647 kes Covid-19 di Johor, sehingga Ogos lalu.

"Kes sporadik adalah satu indikator penularan dalam komuniti. Kadar kebolehjangkitan Covid-19 harus diambil sebagai satu peringatan kepada rakyat supaya kekal berwaspada di dalam pencegahan wabak.

"Pergerakan bebas dalam komuniti serta ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard menjadi punca utama penularan di kalangan komuniti masa kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 2:07 PM