HOSPITAL Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru. FOTO Arkib NSTP.
HOSPITAL Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru. FOTO Arkib NSTP.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Penggunaan katil yang dikhususkan bagi kes Covid-19 di wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital kerajaan di negeri ini sudah mencapai kapasiti lebih 90 peratus sekali gus menimbulkan kebimbangan berikutan jumlah kes yang semakin meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, sehingga Sabtu lalu, terdapat 82 pesakit Covid-19 yang dirawat di ICU dengan 66 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"Pesakit kategori 2 hingga 5 masih boleh dirawat di hospital dengan menambah bilangan katil dan wad diperuntukkan khusus untuk pesakit Covid-19.

"Walau sudah hampir mencapai kapasiti maksimum, hospital di negeri ini tidak menolak pesakit bukan Covid-19 yang memerlukan rawatan seperti biasa.

"Namun selaras dengan dasar Kementerian Kesihatan (KKM) mulai Pertengahan April lalu, semua pembedahan elektif sudah diberhentikan kecuali pembedahan kecemasan dan kes berkaitan kanser.

"Selain hospital kerajaan, pesakit Covid-19 kategori 1 hingga 5 boleh memilih untuk mendapatkan rawatan di 15 hospital swasta, sementara kategori 1 boleh dirawat di PKRC Pasir Gudang dan PKRC swasta, DB Complex, Iskandar Puteri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, kebelakangan ini, Johor menyaksikan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam kalangan komuniti akibat aktiviti sosial dan keagamaan yang tidak mematuhi prosedur standard operasi (SOP).

Katanya, kebanyakan kes positif dikesan akibat tidak mematuhi SOP dan amalan 3S iaitu ruang sempit, sesak dan sembang dekat.

"Terdapat juga laporan penularan dari aktiviti sosial keluarga seperti berkaraoke, kenduri kahwin dan aktiviti riadah secara berkumpulan yang tidak mematuhi SOP.

"Justeru, adalah dinasihatkan supaya masyarakat terus kekal berwaspada setiap masa serta mematuhi SOP pencegahan Covid-19 dengan mengamalkan 3W (wash, wear, warn) serta mengelakkan 3S," katanya.

Dalam pada itu, Vidyananthan berkata, sehingga Sabtu lalu, terdapat 74 kes daripada Felda Kahang Timur yang dikesan positif dan dihantar ke hospital atau PKRC bagi tujuan rawatan dan pengasingan.

Katanya, Felda Kahang Timur berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 Mei lalu dan dijangka tamat 25 Mei.

"Seramai 491 penduduk sudah disaring," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 3:21 PM