HOSPITAL Medan MERCY Malaysia mula beroperasi di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai, di sini, sejak Sabtu lalu. FOTO ihsan FB HTSMTI
HOSPITAL Medan MERCY Malaysia mula beroperasi di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai, di sini, sejak Sabtu lalu. FOTO ihsan FB HTSMTI
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Operasi Hospital Medan MERCY Malaysia di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) Kulai di sini, bermula sejak Sabtu lalu, berikutan kapasiti penggunaan katil pesakit Covid-19 hospital itu melebihi 100 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata Hospital Medan MERCY Malaysia dijangka beroperasi selama dua bulan sehingga pertengahan November depan.

Katanya, pembukaan Hospital Medan di HTSMTI Kulai berikutan hospital itu menerima limpahan pesakit Covid-19 melebihi kapasiti dalam tempoh empat minggu kebelakangan ini.

"Selaras dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Johor, HTSMTI juga menerima limpahan pesakit melebihi kapasiti menyebabkan kemudahan Hospital Medan perlu dibuka.

"Pengurusan hospital telah mendapatkan kerjasama MERCY Malaysia dalam mewujudkan Hospital Medan berserta kelengkapan peralatan operasi yang mampu menempatkan sehingga 50 pesakit pada satu masa.

"Khemah Hospital Medan ini juga mempunyai kemudahan bilik air (enam tandas dan dua bilik mandi) serta mempunyai ventilasi yang bersesuaian untuk menempatkan pesakit yang telah melepasi tahap kritikal Covid-19 sementara menunggu tarikh discaj," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Vidyananthan berkata, kewujudan Hospital Medan MERCY Malaysia di HTSMTI Kulai dapat membantu pihak hospital menambah kapasiti katil bagi wad khusus Covid-19 sedia dalam terus fokus dalam perawatan kes wabak itu dengan gejala serius (kategori tiga hingga lima).

Katanya, sehingga hari ini, seramai 75 pesakit telah dirawat di hospital medan berkenaan manakala tujuh pesakit aktif masih menjalani rawatan di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 12:50 PM