TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kelonggaran beberapa perintah larangan termasuk pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi, pembukaan semula sempadan negara, penganjuran perhimpunan beramai-ramai menyebabkan kes Covid-19 meningkat secara mendadak di kebanyakan negara.

Lebih membimbangkan, situasi itu menjadi parah dengan kemunculan mutasi baharu virus SARS-CoV-2.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat hari ini kes positif Covid-19 yang direkodkan di seluruh dunia melonjak kepada 152 juta kes, dengan angka kematian melebihi 3.2 juta berdasarkan statistik terkini Universiti Johns Hopkins.

"Kebanyakan negara di dunia mencatatkan kenaikan mendadak kes jangkitan dan kematian Covid-19 walaupun sebahagian besar negara sudah memulakan program imunisasi di negara masing-masing.

"Kelesuan pandemik di seluruh dunia menjadi satu penyebab peningkatan kes akhir-akhir ini apabila masyarakat mulai lesu lalu alpa dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas program imunisasi Covid-19 mula diperkenalkan bermula hujung tahun 2020," katanya dalam kenyataan harian hari ini.

Katanya, situasi yang sama dapat dilihat di Malaysia sejak awal April lalu apabila negara mencatatkan pertambahan sebanyak 61,984 kes baharu dan 235 kes kematian Covid-19 dalam tempoh empat minggu.

"Seperti diketahui umum, peningkatan kes baharu dan kematian yang mendadak ini meningkatkan bebanan sektor kesihatan negara.

"Susulan itu, kapasiti hospital ditingkatkan dan lebih ramai petugas kesihatan dimobilisasikan ke kawasan wabak bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.

"Menurut statistik yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan, kadar penggunaan katil kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 terkini didapati melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang," katanya.

Menurutnya, berdasarkan situasi kritikal itu, pelbagai inisiatif sedang diambil Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi membendung penularan wabak itu menjadi lebih parah di Malaysia.

"Survelan genomik giat dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap lebih banyak sampel kes Covid-19, menerusi aktiviti ini sebanyak tiga Variant of Concern (VOC) iaitu varian B.1.351, B.1.1.7, B.1.1.28 dan satu Variant of Interest (VOI) iaitu B.1.617.1 dikenal pasti.

"Selain itu, kawalan sempadan negara diperketatkan dengan menyekat kemasukan pengembara bukan warganegara dari India dan memanjangkan tempoh kuarantin menjadi 14 hari kepada pengembara dari negara yang melaporkan penularan tempatan VOC," katanya.

Menurutnya, selain itu, kawalan sempadan daerah dan negeri diperketatkan melalui sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara.

"KKM menyeru semua rakyat Malaysia supaya bersama-sama menggalas tanggungjawab dalam membendung penularan Covid-19 di negara kita dengan memainkan peranan masing-masing dan bersatu padu tanpa menuding jari menyalahkan mana-mana pihak dalam menghadapi ujian ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 7:28 PM