GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan kewujudan tujuh lagi kes Variant of Concern (VOC) melalui survelan genomik yang dijalankan ke atas 10 sampel Covid-19 dari 10 Mei hingga 14 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes tempatan dijangkiti varian South African B.1.351 yang dikesan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan tiga kes bukan warganegara dijangkiti varian Indian B.1.617 (sublineage B.1.617.2).

Menurutnya, sehingga kini, jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dijangkiti oleh varian South African B.1.351 adalah sebanyak 66 kes dan varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) adalah sebanyak lima kes.

"Sebanyak tiga kes baharu membabitkan bukan warganegara dengan varian Indian B.1.617.2 dikesan di Malaysia.

"Sebanyak dua kes dikesan melalui saringan Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan satu kes dikesan melalui saringan bergejala," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua kes mempunyai sejarah perjalanan ke India yang mana ini menjadikan jumlah keseluruhan kes varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) yang dikesan di negara adalah sebanyak lima kes.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia sudah melanjutkan tempoh kuarantin wajib selama 14 hari kepada pengembara dari negara-negara dengan penularan VOC dalam komuniti sejak 28 April 2021 dan mengadakan sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari negara India sejak 7 Mei 2021 berikutan penularan varian VOC yang semakin membimbangkan.

"KKM akan meneruskan pemantapan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk survelan epidemik, ujian saringan Covid-19 yang strategik, melakukan pengesanan kontak dan melakukan langkah-langkah kesihatan awam bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya terus berwaspada dan sentiasa mengamalkan nasihat-nasihat yang sering ditekankan oleh KKM.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 8:42 PM