Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguruskan sampel yang telah diambil ketika saringan Covid-19. FOTO ASYRAF HAMZAH
Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguruskan sampel yang telah diambil ketika saringan Covid-19. FOTO ASYRAF HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Masuk hari ketiga fasa satu sekatan pergerakan penuh (SPP), negara bergelut dengan jumlah kes harian baharu Covid-19 yang tinggi di samping rekod kes harian kematian tiga angka.

Kelmarin, 8,209 kes harian baharu dilapor dengan Selangor menunjukkan lonjakan kes 3,125 dikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 801 kes dan Johor 752 kes.

Kes harian baharu tertinggi untuk tempoh 29 Mei hingga 3 Jun direkod pada Sabtu 29 Mei iaitu 9,020 kes.

Sementara kes kematian tiga angka dilaporkan Rabu 2 Jun 2021 iaitu 126 kes memahat sejarah hitam dalam penularan koronavirus maut ini di Malaysia.

Jumlah kematian ini merupakan yang tertinggi sejak wabak Covid-19 dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020. Kelmarin 103 lagi kes kematian dilapor dengan Selangor mencatat kes tertinggi, 26 kes.

Pada Sabtu 29 Mei 2021, 98 kes kematian dilaporkan.

Kes kumulatif direkod pada Khamis 3 Jun 2021 menghampiri angka 600,000 iaitu 595,374 kes sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melepasi 80 ribu iaitu 83,331 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dipetik berkata, tempoh tiga hingga empat bulan diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 yang merebak luas di negara ini.

Ini ditambah dengan pengesanan varian baharu Covid-19 iaitu Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI) seperti dimaklumkan Dr Noor Hisham pada 31 Mei lepas.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyifatkan VOC mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi.

Menurut Dr Noor Hisham, KKM setakat ini mengenal pasti 119 kes dikategorikan sebagai VOC (104 kes) dan VOI (15 kes). Daripada 119 kes itu, 14 adalah kes import.

Beliau turut berkata, virus Covid-19 jenis VOC dikesan di setiap negeri di Malaysia terutama bagi varian B.1.351.

Daripada 119 kes, Selangor mencatat kes tertinggi iaitu 42 kes diikuti Sarawak 20 kes dan Kelantan 18 kes.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan berharap perlaksanaan SPP berkuat kuasa 1 Jun hingga 14 Jun (fasa pertama) dapat mengekang penularan ganas Covid-19.

Di bawah SPP, kerajaan menutup penuh sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara kecuali sektor dan perkhidmatan perlu disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan empat VOC sebagai kebimbangan global iaitu United Kingdom (B.117), Afrika Selatan (B.1.351), Brazil (P.1) dan India (B.1.617).

Menurut badan dunia itu, Varian B.1.617 (India) setakat ini ditemui di 60 wilayah dan negara, sementara Varian B.117 ditemui di 149 negara dan wilayah, B.1.351 pula dikesan di 102 negara dan wilayah manakala varian dari Brazil dikenal pasti di 59 negara dan wilayah.

Bilangan pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin meningkat, begitu juga bilangan pesakit memerlukan bantuan pernafasan. Setakat Khamis 3 Jun 2021, sebanyak 880 kes direkod di ICU dan 446 kes daripada memerlukan bantuan pernafasan.

Dengan 595,374 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 39 dalam senarai 216 buah negara dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Austria (645,834 kes).

Angka kes kematian Covid-19 di negara ini yang konsisten dua angka dan kemudian melonjak tiga angka pada 2 Jun 2021 sebanyak 126 kes mencemaskan tambahan dengan lebih 800 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lebih 400 yang memerlukan bantuan pernafasan.

Rekod kes kematian sebanyak 126 dicatat pada 2 Jun itu melibatkan 123 warganegara dan tiga bukan warganegara.

Daripada 126 kes kematian itu juga, 21 kes dikategorikan sebagai kes mayat yang dibawa ke hospital (Brought In Dead/BID).

Kes BID merujuk kepada kes kematian di luar hospital dan kematian ini disahkan disebabkan Covid-19 selepas proses bedah siasat.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan akhbar KPK mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia pada Khamis 3 Jun 2021 melaporkan 103 lagi kes kematian (100 warganegara, 3 bukan warganegara) menjadikan kes kumulatif 3,096 kes (0.52 peratus). Jumlah kes BID adalah 15 kes.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 7:10 AM