Gambar fail, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama.
Gambar fail, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama.

Muhaamad Hafis Nawawi

[email protected]

Kuala Lumpur: Kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) khusus kepada pengembara yang tiba di negara ini termasuk tempoh kuarantin dipanjangkan ke 14 hari bagi mengelak penularan virus SAR-CoV-2 Variant of Concern (VOC) jenis baharu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka perlu menjalani swab sampel bagi ujian pengesanan jangkitan Covid-19 tiga hari sebelum tarikh berlepas dan dikehendaki menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian (kuarantin) di stesen kuarantin.

Menurutnya, tempoh kuarantin dipanjangkan dari 10 hari kepada 14 hari, selain dari di atas tindakan yang perlu dilakukan oleh pengembara yang baru tiba di Malaysia termasuk mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengesahkan perkembangan mutakhir di banyak negara yang melaporkan virus VOC jenis baharu.

"Ada dalam kalangan varian ini dikesan di Malaysia, misalnya varian B.1.351 atau South African variant," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, melihat kepada perkembangan pelaporan beberapa jenis VOC baharu lagi di banyak negara luar, adalah dikhuatiri varian ini kemungkinan boleh dibawa masuk oleh pengembara ke Malaysia.

"Virus SARS-CoV-2 penyebab jangkitan Covid-19 kerap bermutasi bagi memastikan kelangsungan hidupnya (survival) di dalam persekitaran bersama manusia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 7:07 PM