MOHAMAD Fakhrudin bersama pegawainya menunjukkan barangan samun yang dirampas pada sidang media di IPD Petaling Jaya. FOTO Hazreen Mohamad
MOHAMAD Fakhrudin bersama pegawainya menunjukkan barangan samun yang dirampas pada sidang media di IPD Petaling Jaya. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Polis menumpaskan Geng Naidu Damansara yang aktif melakukan samun dengan penahanan enam lelaki termasuk tiga lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di daerah ini pada 3 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun yang memaklumkan disamun dua lelaki ketika berada rumah sewanya di Sri Damansara, di sini, pada 27 Februari lalu.

"Menurut pengadu, dua suspek yang juga warga asing datang mengetuk pintu rumah dengan kuat dan mengarahkan mangsa membuka pintu kononnya untuk membuat pemeriksaan.

"Semasa di dalam rumah, suspek mengambil pisau dari dapur dan mengacukannya kepada pengadu, manakala rakan suspek pula mengambil tiga telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM3,050 milik penghuni rumah sebelum melarikan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, susulan laporan itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah rumah di Damansara yang membawa kepada penahanan dua lelaki warga asing masing-masing berusia 30 dan 41 tahun pada 3 Mac lalu.

"Polis turut merampas tiga telefon bimbit dan satu parang disyaki digunakan pada kejadian samun berkenaan.

"Hasil soal siasat terhadap dua suspek terbabit, kami menahan seorang lelaki tempatan serta dua lelaki warga asing dalam serbuan di sekitar daerah ini pada hari sama.

"Pemeriksaan dilakukan dalam serbuan itu membawa kepada rampasan pelbagai barangan disyaki hasil samun dan pecah rumah yang disimpan di dalam sebuah kereta diparkir di kawasan berhampiran," katanya.

Beliau berkata, pihaknya merampas beberapa komputer riba, telefon bimbit, barangan elektrik, peralatan pertukangan dan sebuah Perodua Alza.

"Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.

"Dengan tertangkapnya semua suspek berkenaan, kami yakin berjaya menyelesaikan 13 kes samun dan pecah rumah di daerah ini bagi tempoh Januari lalu hingga Mac ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397/457/379 Kanun Keseksaan selain Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 6:47 PM