Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Sudahlah menggunakan Mykad palsu untuk menyewa kereta malah kenderaan itu digunakan

untuk melakukan jenayah pecah masuk kedai serbaneka.

Itu taktik seorang lelaki berusia 42 tahun bagi mengaburi mata pihak berkuasa apabila mengubah nama dan alamat tempat tinggalnya bagi mengelak diri daripada dikesan.

Dia akan membuat tempahan kereta secara dalam talian dan selepas melakukan jenayah, kenderaan terbabit ditinggalkan di tepi jalan.

Bagaimanapun kegiatan suspek terbongkar selepas polis berjaya menahannya di sebuah rumah di Sungai Chua, Kajang jam 8.30 malam pada 15 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, penahanan suspek susulan laporan polis dibuat seorang lelaki mengenai kejadian pecah kedai serbaneka di kawasan Damansara pada 6 Jun lalu membabitkan kerugian RM5,000.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek membuat sendiri Mykad palsu itu untuk menempah kereta yang digunakan bagi melakukan jenayah.

"Semakan rekod mendapati dia memiliki satu rekod jenayah dan rekod jenayah komersial.

"Penahanan suspek berjaya menyelesaikan tiga kes pecah kedai serbaneka di kawasan Petaling Jaya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Katanya, dalam serbuan itu polis merampas tiga telefon bimbit, pelbagai peralatan pecah rumah, rokok, penapis air, beg tangan berjenama, komputer riba dan lain-lain.

"Suspek direman 14 hari bermula 16 Jun lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 4:04 PM
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPD Petaling Jaya. FOTO GENES GULITAH
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPD Petaling Jaya. FOTO GENES GULITAH