Noor Rashid mengagihkan juadah berbuka kepada anggota polis yang bertugas di ibu negara. FOTO
Noor Rashid mengagihkan juadah berbuka kepada anggota polis yang bertugas di ibu negara. FOTO
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS Diraja Malaysia (PDRM)dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) mengagihkan 1,000 pek makanan untuk juadah berbuka puasa kepada anggota polis trafik bertugas di ibu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mahamad Akhir Darus

berkata, juadah berbuka puasa itu diagihkan kepada pegawai dan anggota polis yang bertugas mengawal lalulintas di beberapa jalan utama di ibu negara.

Beliau berkata, program itu kali ke-20 diadakan bertujuan menghargai pengorbanan anggota polis yang bertugas bagi memastikan lalulintas di ibu negara ini sentiasa terkawal.

"Kita mengagihkan 1,000 pek makanan di sekitar Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek dan Jalan Tuanku Abdul bagi anggota polis trafik yang terpaksa berbuka puasa di tepi jalan demi memastikan kelancaran lalu lintas.

"Program agihan pek juadah di lapangan ini sudah menjadi tradisi bagi menghargai pengorbanan anggota yang berbuka puasa di lapangan," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Op Selamat 11/2017 sempena Hari Raya Aidilfitri di Balai Trafik Jalan Tun H.S. Lee, hari ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim.

Mahamad Akhir berkata, terdapat seramai 600 anggota polis yang bertugas bagi mengawal lalulintas di jalan utama di ibu kota.

"Kita turut mengagihkan judah berbuka kepada orang awam yang berada di lokasi berkenaan.

"Program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi menyuntik semangat kepada anggota yang bertugas,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 9:33 PM