PENGUNJUNG berkongsi pengalaman berbuka puasa ala berkelah beramai-ramai.
PENGUNJUNG berkongsi pengalaman berbuka puasa ala berkelah beramai-ramai.
Zaitie Satibi


APABILA tiba Ramadan, umat Islam tidak melepaskan peluang mencari kelainan berbuka puasa beramai-ramai di kawasan lapang. Kawasan padang atau sekitar dataran menjadi lokasi popular untuk berbuka dan ia menjadi ‘acara wajib’ dilakukan sama ada bersama rakan atau keluarga setiap tahun selain biasanya hujung minggu.

Berikut lokasi yang menjadi kunjungan orang ramai untuk berbuka puasa ala berkelah di seluruh negara.

1. Iftar@KL 2019 yang menawarkan pengalaman berbuka puasa bersama pelbagai lapisan masyarakat sambil menikmati keindahan ibu negara setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan. Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu berlangsung di Jalan Raja, Dataran Merdeka.

2. Berbuka puasa beramai-ramai di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 berhampiran Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah di Jalan Mahkota, Kuantan, Pahang, setiap kali Ramadan sudah menjadi satu tradisi bagi umat Islam di sekitar bandar.

Kedudukan strategik Padang MPK2 bersebelahan bazar Ramadan turut menambah keistimewaan untuk menarik umat Islam berbuka. Pengunjung bersama keluarga masing-masing membanjiri padang dengan membawa tikar dan bakul berisi pelbagai juadah berbuka puasa yang dimasak di rumah.

3. Warga Shah Alam bersantai bersama keluarga dan rakan untuk berbuka puasa di Dataran Kemerdekaan Shah Alam berhadapan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Lokasi dataran yang lapang dan mendamaikan amat sesuai untuk dijadikan lokasi berbuka. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut menganjurkan Program Iftar Jamaie 2019 pada 18 Mei ini sempena Hari Tanpa Kenderaan. Sebanyak 2,000 pek makanan akan diedarkan percuma untuk berbuka puasa beramai-ramai ala Dataran Masjid Nabawi di Madinah.

4. Berbuka puasa beramai-ramai di Dataran Shahbandar, Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu, Terengganu sudah menjadi kelaziman bagi masyarakat yang tinggal di sekitar bandar itu setiap kali datangnya Ramadan. Hampir segenap ruang di atas padang rumput dipenuhi orang ramai untuk berbuka puasa, di samping peluang menikmati keindahan pantai sambil ditiup bayu laut.

5. Dataran Putrajaya yang terletak berhadapan dengan Istana Kehakiman dan Masjid Tuanku Mizan Abidin serta Masjid Putra menjadi tumpuan warga Putrajaya untuk berbuka puasa. Di dataran ini juga mempunyai banyak pilihan tempat untuk membeli makanan baik di restoran ataupun di bazar Ramadan. Selain dapat berbuka beramai-ramai, pengunjung juga dapat menikmati keindahan Putrajaya pada waktu malam yang sungguh menarik.

6. Berbuka puasa sambil menikmati keindahan pemandangan Masjid Zahir, Menara Alor Setar dan hiasan landskap sekeliling yang terletak di Dataran Balai Besar, Alor Star, kedah pasti menjadi satu pengalaman yang baru. Kawasan padang yang lapang memang sangat meriah setiap kali tiba waktu berbuka. Sekitar dataran banyak pilihan membeli juadah berbuka di restoran atau bazar.

7. Acara berbuka puasa di Dataran Bandar Sibu Fasa I di tempat paling ikonik di bandar Sibu, Sarawak. Bazar Ramadan yang terletak bersebelahan dataran memudahkan pengunjung untuk membeli juadah berbuka puasa. Malah, masyarakat dari pelbagai agama turut tidak ketinggalan berbuka puasa bersama dengan masyarakat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 10:04 AM