DR Noor Hisham, gambar arkib. FOTO Bernama
DR Noor Hisham, gambar arkib. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati peningkatan kes dan kadar penggunaan kapasiti kesihatan di Lembah Klang amat membimbangkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sekiranya trend peningkatan kes Covid-19 berterusan maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap kritikal dan memberi impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

Katanya, Malaysia mencatatkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) yang meningkat dan nilai terkini adalah 1.14 dengan tiga negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1 iaitu Selangor (1.20), Kuala Lumpur (1.16) dan Putrajaya (1.0).

"Terdapat tujuh hospital yang dikhususkan untuk rawatan pesakit Covid-19 termasuk satu Hospital Universiti di Lembah Klang.

"Sebanyak 277 katil kritikal Unit Rawatan Rapi (ICU) diperuntukkan bagi pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 bagi negeri di Lembah Klang.

"Daripada jumlah ini, kadar penggunaan terkini katil kritikal mencapai lebih 88 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) turut melaporkan kadar penggunaan katil kritikal melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Tambah beliau, Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pula melaporkan penggunaan katil kritikal pada kadar melebihi 50 peratus.

"Ini adalah berpunca daripada peningkatan kemasukan kes kritikal sebanyak 62 peratus berbanding tempoh dua minggu lalu. Setakat hari ini, 108 unit ventilator diperlukan untuk pesakit Covid-19 di Lembah Klang saja," katanya.

Justeru, katanya, KKM melalui Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 mengambil langkah mengatasi kesesakan katil kritikal antaranya pengurusan katil secara efisien agar pesakit di hospital Lembah Klang dapat dipindahkan ke hospital lain yang mempunyai kekosongan.

Selain itu, beliau berkata, Hospital Sungai Buloh akan meningkatkan kapasiti katil secara berfasa, pembedahan dan prosedur elektif dikurangkan atau ditangguhkan, wad biasa ditukar fungsi kepada katil kritikal serta mewujudkan kerjasama dengan hospital swasta.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk sama-sama membantu KKM dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan mematuhi nasihat kesihatan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 8:23 PM