GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sentiasa memantau keperluan katil di hospital secara teliti bagi merawat pesakit Covid-19 yang meningkat.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, katil di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) akan ditambah mengikut keperluan bagi memuatkan pesakit yang positif.

Katanya, penggunaan katil di semua hospital dan PKRC hampir penuh iaitu melebihi kadar 70 peratus.

"Kita sentiasa menambah katil bagi menampung keperluan untuk menempatkan pesakit Covid-19 setiap hari.

"Selain itu, kita juga mengambil langkah dengan membuka PKRC keenam iaitu di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, semalam.

"PKRC baharu itu dalam persediaan dan akan menerima pesakit dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mewujudkan 'step down care' kepada pesakit Covid-19.

Terdahulu, media melaporkan penggunaan katil bagi merawat pesakit Covid-19 di hospital kerajaan berada dalam keadaan kritikal apabila sudah mencapai 80 hingga 100 peratus terutama di negeri yang berlaku peningkatan kes positif mendadak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilapor berkata, kapasiti penggunaan katil, wad dan unit rawatan rapi (ICU) di hospital swasta di Lembah Klang juga penuh 100 peratus.

li>Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 4:27 PM