Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner yang tidak membenarkan dokumen membabitkan kematian Allahyarham Mohd Fadzrin Zaidi yang meninggal dunia dalam lokap tahanan pada 2019 diberikan kepada keluarga.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Razdi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati, hakim koroner yang mendengar inkues kematian lelaki itu terkhilaf apabila tidak membenarkan dokumen itu diserahkan kepada peguam yang mewakili keluarga Mohd Fadzrin.

Mahkamah dalam keputusannya membenarkan dokumen seperti diari lokap, laporan polis berkaitan, rajah kasar dan gambar tempat kejadian, laporan perubatan, laporan dan gambar bedah siasat serta laporan kimia diserahkan kepada peguam keluarga.

Mahkamah selesai mendengar hujah permohonan semakan keputusan mahkamah koroner itu yang dikemukakan peguam M Visvanathan yang mewakili keluarga Mohd Fadzrin pada 15 April lalu.

Inkues kematian Mohd Fadzrin akan bersambung 7 Mei depan.

Allahyarham Mohd Fadzrin, 29, yang ditahan di Kampung Perlis mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, ditemui mati dipercayai menggantung diri di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU), pada 20 November 2019.

Keluarga dimaklumkan polis bahawa Mohd Fadzrin yang juga penggali kubur, membunuh diri dengan cara mengikat leher dengan baju sebelum digantung pada jeriji besi tingkap lokap.

Sementara itu, Fadhelah Othman, 53, ketika ditemui berkata, dia berharap ada keadilan terhadap kejadian yang menimpa anaknya.

PEGUAM M. Visvanathan (tengah) mewakili arwah Mohd Fadzrin bersama ibunya Fadhelah Othman, 53 (kanan) ketika ditemui di Mahkamah Tinggi 6, Georgetown bagi mendengar keputusan semakan jenayah dalam kes inkues hari ini. FOTO Mikail Ong
PEGUAM M. Visvanathan (tengah) mewakili arwah Mohd Fadzrin bersama ibunya Fadhelah Othman, 53 (kanan) ketika ditemui di Mahkamah Tinggi 6, Georgetown bagi mendengar keputusan semakan jenayah dalam kes inkues hari ini. FOTO Mikail Ong

"Saya tidak pernah berhenti berdoa supaya semua proses berjalan lancar dan ada keadilan terhadap kejadian yang menimpa Mohd Fadzrin.

"Setiap hari tidak pernah saya lupa kenangan bersamanya, begitu juga bapanya (Zaidi Mohd Din, 57) yang kebelakangan ini sering tidak sihat," katanya ketika ditemui di sini.

Fadhelah berkata, anak kedua daripada lapan beradik itu manja dengannya dan menggemari martabak mini sebagai juadah berbuka puasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 4:42 PM