GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Melampau dan jijik. Itu gambaran terhadap tindakan seorang lelaki yang disyaki mencabul tiga kanak-kanak lelaki dan perempuan di sebuah flat Sri Damansara di sini.

Aksi jijik lelaki berusia 53 tahun terbongkar apabila perbuatannya sempat dirakam salah seorang penduduk di kediaman itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima laporan dibuat bapa kepada salah seorang mangsa pada jam 5 petang semalam.

Katanya, bapa mangsa berusia 39 tahun mendakwa mengetahui anaknya berusia tujuh tahun dicabul di tangga flat didiami sebaik melihat rakaman video ditunjukkan pengerusi persatuan penduduk.

"Dalam rakaman berdurasi 19 saat yang sempat dirakam saksi, suspek memeluk dan melakukan perbuatan tidak senonoh ke atas mangsa.

"Berikutan itu, suspek ditahan semalam oleh saksi kejadian dengan bantuan penduduk lain dan pihak polis," katanya semalam.

Mohamad Fakhrudin berkata, soal siasat mendapati suspek bukan penduduk flat berkenaan dan mendakwa pergi ke kawasan perumahan itu untuk mencari rakan lama.

"Suspek turut melakukan perbuatan sama terhadap dua lagi rakan mangsa berusia 11 tahun di lokasi sama. Kesemua mangsa membabitkan dua kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan," katanya.

Menurutnya, suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 5 Oktober depan bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 4:33 PM