HASNI menyapa warga emas ketika meninjau program Pemberian Vaksin Covid-19 Fasa II Negeri Johor di Dewan Muafakat Taman Adda, di sini,  hari ini. FOTO Farid Noh.
HASNI menyapa warga emas ketika meninjau program Pemberian Vaksin Covid-19 Fasa II Negeri Johor di Dewan Muafakat Taman Adda, di sini, hari ini. FOTO Farid Noh.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Laman web khas bagi rakyat Malaysia yang mendapat tawaran kerja di Singapura, mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19, kini sudah mula beroperasi.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, laman web itu boleh diakses di www.immuplan.my , bagi membuat pendaftaran sebelum dipanggil untuk pemberian vaksin, jika memenuhi kriteria ditetapkan.

Katanya, pekerja Malaysia yang mahu berulang-alik ke Singapura sebaik sahaja kebenaran sempadan dua negara dibuka, perlu mendapatkan suntikan vaksin berkenaan sebagai syarat utama kebenaran rentas negara diberikan nanti.

"Kriteria utama untuk mendapatkan vaksin menerusi laman web khas ini adalah pekerja Malaysia ada permit kerja di Singapura yang sah selain mempunyai surat tawaran kerja atau surat majikan di Singapura.

"Pemohon yang layak akan menerima vaksin Covid-19 yang diperakui Malaysia dan Singapura, sekali gus akan dibenarkan berulang-alik merentas negara apabila sempadan dibuka nanti.

"Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bersetuju untuk menyalurkan vaksin untuk kegunaan 100,000 individu yang layak menerusi laman web khas ini.

"Pemohon yang layak kemudian akan diberi notifikasi hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menerusi aplikasi MySejahtera yang bersepadu dengan laman web IMMU Plan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau program Pemberian Vaksin Covid-19 Fasa II Negeri Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Pada 4 April lalu, Hasni dilaporkan berkata, satu aplikasi atau laman web khas bagi pendaftaran vaksin Covid-19 akan dibangunkan kerajaan Johor untuk membolehkan pekerja Malaysia di Singapura berulang-alik.

Ditanya sama ada pekerja Malaysia di Singapura yang sudah mendapat suntikan vaksin di republik itu antara yang disenaraikan untuk berulang-alik, jika sempadan kedua negara dibuka, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut berkata, itu adalah kategori yang berbeza.

"Pendaftaran yang dibuka menerusi IMMU Plan adalah bagi rakyat Malaysia yang kini berada di negara kita yang mungkin sudah mendapat tawaran kerja di sana dan berhasrat berulang-alik jika sempadan dibenarkan dibuka.

"Bagi pekerja Malaysia yang sudahh divaksin di republik itu, ia akan ditentukan kemudian menerusi perbincangan antara Malaysia dan Singapura nanti," katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, beliau belum dimaklumkan mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Singapura, yang dijangka awal bulan depan.

"Jika lawatan itu jadi kenyataan, saya berharap Perdana Menteri membawakan agenda berhubung rentas sempadan antara kedua negara yang masih tertunggak.

"Ia termasuk skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang ditangguhkan Singapura tahun lalu supaya ia dapat dilaksanakan semula.

"Selain itu, kita berharap pengurangan kebenaran untuk Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) kepada hanya 400 individu yang diputuskan Singapura, dikembalikan kepada syarat asal iaitu 2,000 individu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 12:54 PM