PEKERJA Malaysia yang bekerja di Singapura dilihat berjalan di Tambak Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
PEKERJA Malaysia yang bekerja di Singapura dilihat berjalan di Tambak Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Mohamed Farid Noh


KERAJAAN Johor menyarankan supaya kerajaan Persekutuan membuka kembali sempadan Malaysia-Singapura.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, yang membuat saranan berkenaan dalam muat naik di akaun Facebooknya hari ini berkata, kerajaan negeri mengambil tanggungjawab moral dengan membuat saranan berkenaan.

"Namun, ia terserah kepada kedua-dua Kerajaan Persekutuan, bersama pemerintah Singapura untuk menjayakannya.

"Terima kasih kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana menerima kedatangan saya di Wisma Putra petang semalam.

"Perbincangan yang turut disertai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Mohd Rabin Basir berkisar kepada pembukaan semula sempadan Malaysia - Singapura bagi memudahkan pergerakan pekerja Malaysia di Singapura," katanya.

Minggu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju membenarkan rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura bagi urusan pekerjaan, selepas mengambil maklum pembukaan semula ekonomi di republik berkenaan dengan perinciannya akan diumumkan apabila perbincangan dilakukan dengan kerajaan Singapura.

Mengikut statistik, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia kini mencari nafkah di Singapura dengan hampir 250,000 daripadanya berulang-alik antara Johor Bahru ke negara itu setiap hari menaiki motosikal, dengan majoritinya keluar-masuk ke republik berkenaan menerusi Tambak Johor selain laluan kedua di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di Tanjung Kupang, Gelang Patah.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, ketika ini, Wisma Putra akan terus berunding dengan pemerintah Singapura untuk memuktamadkan satu jalan penyelesaian yang terbaik bagi membuka sempadan kedua negara.

"Terima kasih juga kepada Menteri Luar kerana menyokong ikhtiar Johor Investment Company (JICO) di Singapura," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 11:49 AM