SEMPADAN Malaysia-Singapura akan dibuka semula pada 10 Ogos ini. FOTO Arkib NSTP
SEMPADAN Malaysia-Singapura akan dibuka semula pada 10 Ogos ini. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


PEMBUKAAN semula sempadan Malaysia-Singapura 10 Ogos ini, adalah permulaan bagi merancakkan semula sektor ekonomi negeri ini yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pembukaan sempadan itu juga keputusan yang dinanti-nantikan oleh warga kedua-dua negara dan tepat pada masanya.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawat beliau dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan kerana mencapai persetujuan bagi kedua-dua negara melaksanakan inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang bermula 10 Ogos depan.

"Saya bagi pihak Kerajaan Johor mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan berkenaan yang akan memenuhi keperluan pekerja yang berulang-alik antara kedua-dua negara.

"Saya yakin pembukaan sempadan ini pastinya melegakan banyak pihak kerana mereka dapat meneruskan urusan perniagaan dan kerja masing-masing yang terjejas sejak Mac lalu apabila kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Singapura melaksanakan Circuit Breaker atau pemutus rantaian berikutan pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pagi tadi, Malaysia dan Singapura dilaporkan bersetuju untuk melaksanakan RGL dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PRC) bagi memenuhi keperluan pekerja yang berulang alik antara dua negara itu.

Menerusi pelaksanaan RGL, ia membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi antara kedua-dua negara.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, Singapura adalah rakan strategik yang penting bagi Malaysia, khususnya Johor sama ada dalam bidang ekonomi dan sosial.

Katanya, Kerajaan Johor sudah bersedia terhadap pematuhan semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita juga akan membantu memudahkan semua urusan supaya pembukaan sempadan ini dapat memberi manfaat kepada warga kedua-dua negara.

"Perkara ini amat penting dalam usaha kedua-dua negara memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung sebaik mungkin demi kesihatan dan keselamatan rakyat.

"Saya berharap selepas ini ada lagi inisiatif lain yang membolehkan pergerakan orang ramai untuk merentas sempadan secara ulang-alik setiap hari dapat disepakati oleh Malaysia dan Singapura," katanya.

Dalam pada itu, Hasni juga menasihatkan supaya rakyat Malaysia, khususnya rakyat Johor untuk sentiasa mematuhi SOP dan peraturan digariskan pihak berwajib bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua kekal terjaga dalam konteks Covid-19 yang masih belum reda sehingga kini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 5:20 PM