HASNI ketika sidang media di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
HASNI ketika sidang media di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Kerajaan Johor sedang membangunkan sebuah aplikasi khas pendaftaran vaksin Covid-19 untuk rakyat negeri itu yang bekerja dan berulang-alik ke Singapura.

Menteri Besarnya Datuk Hasni Mohammad berkata, aplikasi yang dikenali IMMu Plan Johor itu dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

"Aplikasi ini sedang dibangunkan pada peringkat awal ini buat mereka yang perlu bekerja dan berulang-alik setiap hari.

"Jumlah awal yang kita bincangkan dan kemuka permohonan kepada Mosti adalah membabitkan 100,000 individu untuk pendaftaran vaksin ini yang sudah dikenal pasti," katanya dalam sidang media di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyertai mesyuarat tertutup bersama Menteri Mosti Khairy Jamaluddin dan ketua jabatan negeri itu.

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengalu-alukan inisiatif kerajaan Johor membangunkan aplikasi khas berkenaan dan memaklumkan sistem itu boleh diintegrasikan bersama senarai pendaftaran dalam MySejahtera.

"Jadi aplikasi ini digunakan untuk menyenaraikan mereka yang berulang-alik dari Singapura dan kita boleh juga ambil data itu dan dimasukkan ke dalam MySejahtera untuk beri mereka temujanji vaksin nanti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 5:54 PM