Dr Radzi berucap ketika majlis perasmian PBAKL 2022 di PWTC Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Dr Radzi berucap ketika majlis perasmian PBAKL 2022 di PWTC Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memansuhkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) adalah antara usaha membentuk generasi masa depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia untuk generasi pewaris negara yang cintakan ilmu dan mempunyai bidang ilmu diminati tanpa dikekang ruang kreativiti serta pilihan ilmu.

Beliau yakin langkah kerajaan adalah untuk melahirkan pelajar daripada peringkat sekolah rendah hingga ke sekolah menengah yang lebih hebat.

"Mereka mempunyai ruang masa yang cukup luas untuk mendalami pelbagai bidang ilmu.

"Bagi pihak KPM, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa penyusunan semula sistem pentaksiran di sekolah yang kita laksanakan dalam tempoh dua tahun ini, khususnya yang terakhir saya umumkan dua hari lalu, adalah sebahagian daripada usaha untuk membentuk generasi masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.

PBAKL 2022 itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam sidang media di Putrajaya kelmarin, Radzi mengumumkan pemansuhan PT3 pada tahun ini.

Katanya, KPM mengambil pendekatan untuk memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) melalui Ujian Akhir Sesi Akademik.

Beliau dilaporkan berkata, biarpun kini tiada peperiksaan pentaksiran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PT3, penguasaan dan pencapaian murid boleh diukur melalui pentaksiran secara sumatif yang dijalankan pada akhir tahun, bermula tahun ini.

Menurutnya, keputusan memansuhkan sistem penilaian akademik yang diguna pakai sejak 2014 itu bertujuan membina kemenjadian dan kompetensi murid, selain memberi ruang untuk melaksana intervensi terhadap murid yang didapati ketinggalan serta tidak mendapat tahap penguasaan sepatutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 10:26 PM