ANGGOTA PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menunjukkan pod rokok elektronik yang dirampas. FOTO ihsan PPM
ANGGOTA PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menunjukkan pod rokok elektronik yang dirampas. FOTO ihsan PPM
Siti Rohana Idris


Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas 2,600 pod rokok elektronik bernilai RM475,000 di stor Kampung Tebing, Pengkalan Kubor, di sini, malam tadi.

Rampasan dibuat sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin sempena Op Benteng Covid (Op Landai/Op Kontraban ) pada jam 8 malam.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, apabila tiba di stor kosong di tebing Sungai Golok itu, pasukan mendapati pintunya tidak berkunci.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui 26 kotak besar dengan setiap satunya mengandungi 100 pod rokok elektronik dengan jumlah keseluruhan sebanyak 2,600 unit.

"Rampasan yang dianggarkan bernilai RM475,000 itu dipercayai untuk diseludup ke Thailand," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Rudzuan berkata, selepas menunggu selama setengah jam, tiada individu tampil menuntut dan semua rampasan dibawa ke markas untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, markas PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor tetap komited menjalankan operasi penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang aktiviti penyeludupan barang kontraban ke sempadan walau tumpuan utama tertumpu kepada penugasan untuk monsun timur laut.

"Bagaimanapun memandangkan banjir di negeri ini tidak kritikal terutama kawasan di daerah sempadan Sungai Golok, aktiviti penyeludupan masih wujud seperti biasa.

"Pengoperasian dan penugasan PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor tetap diteruskan seperti biasa dalam mengekang aktiviti penyeludupan yang tetap aktif tidak mengira masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 11:01 AM